
DALAM dunia yang serba pantas hari ini, kita sering melihat bagaimana masyarakat umum cepat membuat kesimpulan terhadap isu-isu yang dibincangkan, termasuk perkara-perkara teknikal seperti Rang Undang-Undang di Parlimen. Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan masyarakat yang hanya membaca tajuk atau mendengar cebisan maklumat lalu terus membuat andaian, memberikan komen, atau lebih parah, menyebarkan sentimen kebencian.
Bukan sahaja orang awam, tetapi juga “selebriti agama” yang dikenali kerana sering membuat siaran langsung di media sosial, kadangkala turut terjerumus dalam kekeliruan ini. Mereka yang sepatutnya menjadi contoh dan teladan, tanpa usul periksa, mengeluarkan komen yang mempengaruhi pandangan orang ramai. Fenomena ini jelas menunjukkan pentingnya ilmu dan keprihatinan dalam memastikan sesuatu isu difahami secara mendalam sebelum memberi respons.
Allah telah memberi amaran kepada kita dalam Al-Quran:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (Surah Al-Isra’: 36)
Ayat ini dengan jelas menegaskan supaya kita tidak berkata-kata atau bertindak berdasarkan perkara yang kita tidak tahu dengan pasti. Kerana setiap perkataan dan tindakan kita akan dipersoalkan kelak di akhirat.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW memberi peringatan yang tegas tentang bahaya berjuang atau berbicara tanpa ilmu:
مَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عُمِّيَّةٍ، يُغَضِبُ لِعَصَبَةٍ، أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ، أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً، فَقُتِلَ، فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ
“Barang siapa yang berjuang di bawah panji kebutaan (tanpa ilmu atau tujuan yang jelas), lalu dia marah kerana fanatik, atau menyeru kepada fanatik, atau membantu kerana fanatik, dan dia terbunuh, maka dia terbunuh dalam keadaan jahiliyyah.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa tindakan atau perjuangan yang dilakukan tanpa ilmu bukan sahaja sia-sia, malah boleh membawa seseorang kepada keadaan yang memudaratkan diri sendiri.
Lebih menakutkan, Nabi SAW turut mengingatkan tentang golongan yang muflis di akhirat:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟ قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ. فَقَالَ: إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ، أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: ‘Orang muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki dirham dan harta.’ Baginda bersabda: ’Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa (pahala) solat, puasa, dan zakat, tetapi dia juga datang dengan membawa dosa mencerca orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta orang lain, menumpahkan darah, dan memukul orang lain. Lalu kebaikannya diberikan kepada orang yang dizaliminya, sehingga apabila kebaikannya habis sebelum selesai membayar kesalahannya, maka dosa-dosa orang yang dizalimi itu pula dilemparkan kepadanya, lalu dia dicampakkan ke dalam neraka.’” (Riwayat Muslim)
Hadis ini mengingatkan kita bahawa walaupun seseorang itu banyak beribadah, jika dia menzalimi orang lain melalui kata-kata atau perbuatannya, dia tetap tergolong sebagai muflis di akhirat. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum membuat kenyataan atau menyebarkan sesuatu isu, lebih-lebih lagi jika kita tidak memahami perkara tersebut secara mendalam.
Masyarakat perlu diajar untuk membezakan antara maklumat yang sahih dan andaian yang tidak berasas. Umat Islam juga harus menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai panduan utama dalam berbicara dan bertindak. Sebelum memberikan komen atau menyebarkan sesuatu isu, renunglah dahulu adakah kita benar-benar memahami perkara itu, atau kita sekadar mengikut emosi tanpa ilmu. Sesungguhnya, setiap kata-kata kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 10/12/2024











