
KANGAR: Belanjawan 2025 Negeri Perlis yang bertemakan “Perlisku Bestari Berkat Lestari” dibentangkan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, hari ini di Dewan Undangan Negeri Perlis.
Belanjawan ini, dengan jumlah keseluruhan RM303.28 juta, menjadi yang terbesar dalam sejarah negeri, menumpukan kepada pembangunan ekonomi, sosial, dan kelestarian.
Menurut Mohd Shukri, daripada keseluruhan peruntukan, sebanyak RM196.11 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM107.17 juta adalah bagi perbelanjaan pembangunan.
“Anggaran hasil negeri pada tahun 2025 pula dijangka mencecah RM122.93 juta, sekali gus membawa kepada defisit sebanyak RM73.18 juta,” katanya.
Ujarnya lagi, belanjawan itu dirangka untuk mentransformasikan Perlis ke arah negeri yang lebih maju, dengan memberi tumpuan kepada pelaburan strategik, pembangunan infrastruktur mampan, serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
“Dalam sektor ekonomi, pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) menjadi keutamaan, dengan pengoperasian kilang pertama, Jabil, dijadual bermula Januari 2025.
“Selain itu, kerjasama strategik dengan negeri-negeri SG4 (Kedah, Kelantan, dan Terengganu) turut diperkukuh untuk menarik pelaburan berkualiti, memacu pembangunan ekonomi bersama, dan memastikan kesejahteraan rakyat.
“Dalam pada itu, sambutan Jubli Perak pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis pada tahun hadapan turut diambil kira, melambangkan muafakat erat antara rakyat dan institusi diraja,” katanya lagi.
Tambahan itu katanya, belanjawan itu juga mencerminkan aspirasi untuk menjadikan Perlis sebuah negeri yang bestari, berkat, dan lestari. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











