SKMM perlu bebas daripada campur tangan politik

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menegaskan kepentingan kebebasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) daripada sebarang campur tangan politik bagi memastikan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi itu kekal kukuh. 

- Advertisement -

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kuasa menteri yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta SKMM 1998 (Akta 589).

Kuasa itu menurutnya membolehkan menteri melantik pengerusi, ahli suruhanjaya, dan ketua pegawai eksekutif (ceo) tanpa kriteria jelas yang dinyatakan dalam akta tersebut. 

“Pelantikan oleh menteri ini boleh mencetuskan persoalan mengenai kebebasan SKMM, khususnya jika individu yang dilantik terlalu dekat dengan kerajaan, kerana dalam sektor komunikasi ini dan multimedia memerlukan penguatkuasaan dasar secara bebas, kerana kebebasan institusi ini amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Pelantikan berdasarkan merit

Idris juga menekankan keperluan pelantikan yang telus dan berdasarkan merit.

Beliau mencadangkan agar kriteria seperti pengalaman, kepakaran profesional dalam bidang komunikasi, teknologi, dan perundangan diperincikan dalam akta.

Menurutnya, pelantikan tanpa asas itu berisiko menimbulkan konflik kepentingan, khususnya apabila melibatkan polisi yang menyentuh kepentingan pihak tertentu. 

“Pelantikan yang strategik dan berintegriti sangat penting untuk mengukuhkan sektor komunikasi dan multimedia di negara ini.

“Pelantikkan secara langsung oleh menteri tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang menimbulkan risiko,” katanya. 

Kekebalan daripada tindakan undang-undang

Mengulas mengenai Seksyen baharu 51A yang memberi perlindungan kepada ahli suruhanjaya daripada tindakan undang-undang, Idris menyifatkan pindaan itu sebagai langkah yang tidak wajar.

Beliau mempersoalkan rasional kerajaan meluluskan kekebalan sedemikian, yang menurutnya, membuka ruang kepada salah guna kuasa.

“Apakah ukuran kementerian terhadap ‘suci hati’ tersebut (yang disebut dalam seksyen ini)? Bagaimana kerajaan memastikan kekebalan ini tidak disalahgunakan untuk melindungi tindakan tidak bertanggungjawab?” soalnya. 

Beliau juga meminta penjelasan mengenai mekanisme dalaman untuk menangani sebarang salah guna kuasa oleh anggota suruhanjaya yang dilindungi daripada tindakan undang-undang. 

Peningkatan had nilai kontrak

Selain itu, Naib Presiden PAS itu turut membangkitkan isu kenaikan had nilai kontrak yang boleh diluluskan oleh SKMM daripada RM5 juta kepada RM10 juta tanpa kelulusan menteri.

Beliau menyifatkan pindaan itu sebagai langkah berisiko yang boleh membuka ruang kepada amalan tidak telus. 

“Bagaimana kementerian memastikan proses pemberian kontrak ini telus dan bebas daripada sebarang elemen rasuah dan seumpamanya.

“Dan sejauh manakah kenaikan nilai kontrak ini disokong oleh sebarang pelaporan audit yang telus dan pemantauan kewangan yang kukuh?” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -