
SABAK BERNAM: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor telah menggerakkan inisiatif membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Kelantan khususnya di Rantau Panjang.
Pengerusinya, Mohd Nizam Idris mengetuai pasukan kedua telah bergerak bersama kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan pelbagai guna (MPV) yang sarat makanan, malam kelmarin.
“Kami daripada Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Hari ini hari mereka, mungkin esok hari kita. Kecil bagi kita, tapi besar bagi mereka. Kita kongsi rezeki untuk sama-sama menyumbang kepada team Dapur Rakyat Yayasan Amal Malaysia yang beroperasi di Rantau Panjang,” katanya.
Mohd Nizam berkata demikian ketika ditemui media di Koperasi Muslimah Sabak Bernam, di sini pada petang Jumaat tersebut.
Manakala, Pengarah Divisyen Pengurusan Bencana, Abd Rahman Sadikin telah terdahulu berada di Rantau Panjang bagi menguruskan operasi Dapur Rakyat.
Beliau telah bergerak ke Rantau Panjang pada 5 November lalu bersama Ketua Dapur Rakyat yang juga Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias dan 15 relawan.
“Kami membawa 400 ekor ayam, bahan-bahan masakan, peralatan memasak dan keperluan lain. Dua buah lori, dua kenderaan 4×4 dan 1 van.
“Team Dapur Rakyat akan menyediakan makanan tengahari dan malam untuk 2000 orang,” katanya ketika ditemui selepas melakukan ‘flag off’ di Kampung Delek, Klang.
Kerja-kerja sosial yang dilaksanakan ini adalah atas dasar tanggungjawab serta amanah sebagai NGO dengan bermottokan “Berkhidmat Kerana Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah”.
Yayasan Amal Malaysia umumnya dan khususnya Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor akan berusaha menyelaraskan bahan bantuan, relawan serta keperluan lain bagi memastikan tiada mangsa banjir yang keciciran mendapat bantuan.
Bantuan amat diperlukan bagi meringankan kesusahan yang dialami mangsa-mangsa banjir. Hulurkan sumbangan terus kedalam akaun Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor di akaun 5621 0622 2825 Maybank (Ref: Banjir). – HARAKAHDAILY 8/12/2024













