
KOTA BHARU: Kelantan terus diuji dengan banjir yang melanda sejak gelombang pertama bermula pada 22 November lalu, dengan kemuncaknya pada 27 November.
Sebanyak 316 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan, melibatkan 114,730 mangsa banjir daripada 35,444 keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, kebanyakan kawasan yang terjejas mengalami banjir serentak, termasuk kawasan yang jarang dilanda banjir sebelum ini.
Namun, katanya beliau bersyukur keadaan cuaca yang semakin baik memberikan sedikit kelegaan.
“Hingga hari ini, hanya tinggal empat PPS di dua daerah yang masih beroperasi. Air masih belum surut sepenuhnya, dan penduduk sedang giat membersihkan kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membantu mangsa banjir, termasuk petugas kerajaan, NGO, syarikat perniagaan, pempengaruh, dan individu.
Rohani terharu kerana ramai petugas adalah mangsa banjir, namun mereka tetap komited menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
“Terima kasih atas pengorbanan semua. Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik ganjaran,” ujar beliau.
Beliau juga mengakui cabaran kali ini lebih besar, termasuk keperluan membuka PPS ad-hoc akibat keadaan mendesak.
Tambahnya, kerjasama erat antara petugas dan mangsa telah memastikan pengurusan di PPS berjalan lancar meskipun menghadapi kekangan.
Sehubungan itu beliau turut menasihatkan rakyat agar berhati-hati menyebarkan maklumat berkaitan banjir.
“Elakkan menyebarkan berita yang tidak sahih atau memberikan persepsi buruk kepada petugas yang telah mengorbankan masa dan tenaga tanpa henti,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak agar terus berdoa untuk cuaca yang baik sepanjang Monsun Timur Laut.
“Semoga semua mangsa banjir terus bersabar dan diberikan ganti yang lebih baik oleh Allah.
“Takziah kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana ini. Semua ini adalah ujian untuk meningkatkan darjat kita di sisi Allah,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 8/12/2024











