Isu kebersihan Klang: Junjung kasih keprihatinan Sultan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir, menjunjung kasih keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat.

Beliau menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan kepimpinan Sultan Selangor yang berbeza dan unik, di mana Baginda sering menyuarakan isu rakyat secara terus-terang dalam mana-mana majlis.

Merujuk kepada berita The Sun, ‘Sultan Selangor zahirkan kemurkaan atas tahap kebersihan di Bandar Diraja Klang’, Roslan menyifatkan baginda amat memahami masalah rakyat dan sering kali menjadi tempat mengadu. 

“Rakyat Selangor tahu Sultan mereka sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negeri Baginda di hadapan. Tuanku cukup penyayang sifatnya, tidak pernah bertindak menyusahkan rakyat, tidak bengis pada rakyat.

- Advertisement -

“Malah kesusahan dan penderitaan rakyat itulah yang akan Baginda cungkil dan bawa untuk diselesaikan,” katanya dalam media sosial miliknya semalam.

Beliau juga menekankan, rakyat menghormati dan menyanjungi Sultan Selangor bukan kerana takut atau rasa tertekan, tetapi kerana baginda memang di hati mereka.

Roslan turut menyentuh titah Sultan Selangor ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang kelmarin.

Masjid itu katanya, dibina atas titah Sultan Selangor bagi menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat Cina yang mahu mendekati agama Islam.

Menurutnya, dalam majlis tersebut, Baginda meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menyelesaikan isu banjir yang sering melanda negeri ini. 

“Jangan gunakan alasan bahwa banjir berlaku disebabkan ‘climate changes’ atau tahap penurunan hujan yang tinggi dan luar biasa akibat dari ‘Act of God’.

“Beta juga sudah penat untuk mengingatkan masalah ini kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan setiap tahun namun semuanya tidak ambil peduli umpama mencurah air di daun keladi sahaja. Kenapa masalah ini tidak dapat kita selesaikan?

“Tidakkah kerajaan negeri mahu memikir kesusahan rakyat di luar sana yang terpaksa mengharungi penderitaan semasa banjir dengan menghadapi kerosakan harta-benda, nyawa dan keselamatan yang terancam serta kesusahan untuk melaksanakan tugas seharian.

“Beta percaya ‘nothing is impossible’ dan tiada masalah di dunia ini tidak boleh diselesaikan jika sekiranya kita bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita.

“Beta ingin melahirkan perasaan sedih Beta atas penderitaan rakyat dan Beta dapat menyelami derita mereka akibat banjir yang sering berlaku saban tahun,” Roslan memetik titah baginda.

Roslan menyatakan, titah Baginda itu adalah cerminan keprihatinan Sultan Selangor terhadap kebajikan rakyat, khususnya mereka yang sering terkesan oleh bencana banjir.

Beliau menyeru kerajaan negeri agar segera mengambil tindakan berdasarkan teguran Sultan, memandangkan projek tebatan banjir yang menelan jutaan ringgit masih belum mampu meringankan penderitaan rakyat. 

“Kita tidak ingin mempolitikkan isu banjir ini, tetapi masalah rakyat jangan dikesampingkan. Rata-rata yang menjadi mangsa adalah rakyat B40 yang kebanyakannya orang Melayu belaka.

“Wajar sangat Menteri Besar dan kerajaan negeri ambil maklum titah Tuanku ini dan segera menjalankan tugas memastikan bencana banjir tidak lagi berulang di Selangor sehingga menyiksa kehidupan rakyat Tuanku,” katanya. 

Beliau berharap agar titah Sultan Selangor mendapat perhatian serius pihak berwajib. – HARAKAHDAILY 7/12/2024

- Advertisement -