
KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara yang sepatutnya dijalankan di negeri ini digantung buat sementara waktu selepas satu Permohonan Semakan difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perintah pelaksanaan hukuman tersebut akan ditangguhkan sehingga keputusan mahkamah dimuktamadkan.
“Oleh yang demikian, perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut adalah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah,” katanya dalam satu sidang media, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut Khalil, permohonan semakan adalah proses biasa dalam sistem kehakiman dan menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut.
“Permohonan semakan adalah merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman. Justeru itu, orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
“Di kesempatan ini juga, saya ingin menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah,” ujarnya.
Pada 20 November 2024, Mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman enam sebatan di luar penjara terhadap pesalah di sebuah masjid.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Menurut beliau, hukuman sebatan syariah itu bertujuan memberikan pengajaran bukan sahaja kepada pesalah, tetapi juga kepada masyarakat umum.
“Hukuman sebatan ini adalah hukuman takzir bagi kesalahan jenayah syariah. Antara tujuannya adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu lain,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











