
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang atlet negeri Perlis dalam pelbagai temasya sukan sepanjang tahun 2024.
Beliau dengan itu mengumumkan insentif kemenangan berjumlah keseluruhan RM413,300 yang menyaksikan peningkatan berbanding jumlah insentif tahun sebanyak RM271,125.
Pemberian itu meliputi untuk atlet yang berjaya dalam kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Para SUKMA, Sukan Asia, Para Asia, Sukan Komanwel, Sukan Para ASEAN dan Sukan SEA.
“Ini mencerminkan peningkatan prestasi sukan negeri, dengan Perlis meraih lebih banyak pingat dalam pelbagai temasya.
“Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memartabatkan sukan dan menjaga kebajikan atlet serta jurulatih,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan di Dewan 2020, malam tadi.
Kejayaan di SUKMA Sarawak
Temasya SUKMA ke-20 yang berlangsung di Sarawak pada Ogos menyaksikan kontinjen Perlis, dikenali sebagai Skuad SIMBA, meraih pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan di luar negeri sendiri.
Kontinjen ini berjaya membawa pulang 12 emas, 15 perak dan 16 gangsa dengan jumlah keseluruhan 43 pingat, melebihi sasaran awal 10 emas.
Mohd Shukri turut memuji pasukan angkat berat yang dinobatkan sebagai pasukan terbaik, dengan pencapaian empat emas, dua perak dan dua gangsa, termasuk kejayaan Muhammad Hafizuddin Roslin memecahkan tiga rekod kebangsaan.


Kontinjen Para SUKMA dan kejayaan paralimpik
Di Temasya Para SUKMA 2024, kontinjen Perlis yang terdiri daripada 62 atlet berjaya membawa pulang enam emas, 13 perak dan enam gangsa.
Dua atlet, Umi Syuhadah Idris dan Noor Imanina Idris, mencipta sejarah dengan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara lontar peluru.
Kejayaan kontinjen Perlis turut diperkuat oleh pencapaian Datuk Abdul Latif Romly di Paralimpik Paris 2024, yang meraih pingat perak dalam acara lompat jauh T20.
Abdul Latif kini memegang rekod unik sebagai satu-satunya atlet Malaysia yang berjaya meraih pingat di tiga edisi Paralimpik berturut-turut.
Sebagai penghargaan, beliau menerima insentif tambahan sebanyak RM80,000.
Penghormatan buat atlet
Mohd Shukri menegaskan, tiada ‘double standard’ dalam pemberian insentif kepada atlet SUKMA dan Para SUKMA apabila setiap pingat emas individu menerima ganjaran RM5,000.
Beliau juga memuji disiplin atlet Perlis yang menerima pujian daripada pihak penganjur SUKMA Sarawak atas sikap terpuji sepanjang temasya tersebut.
“Rakyat Perlis cukup hebat, bukan hanya di peringkat kebangsaan, tetapi juga di peringkat dunia. Kejayaan ini membuktikan kekuatan dan kehebatan anak negeri dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk mensyukuri kejayaan ini dan menekankan kepentingan solat sebagai asas kejayaan hakiki. – HARAKAHDAILY 4/12/2024













