
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyediakan intervensi jangka pendek bagi membantu penoreh getah yang terkesan akibat perubahan iklim ekstrem dan bencana banjir yang semakin kerap berlaku.
Senator Musoddak Ahmad berkata, situasi itu telah mengganggu pengeluaran getah asli negara termasuk latihan penoreh, selain menjejaskan pendapatan golongan itu.
“Jadi, adakah kerajaan mempunyai intervensi jangka masa pendek untuk membantu para penoreh ini?” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapannya memberitahu, secara umum, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan bantuan bagi menangani kesan bencana, termasuk oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Menurutnya, bantuan biasanya merangkumi sokongan untuk pekebun kecil yang terjejas, seperti bantuan banjir, pampasan pendapatan hilang, dan insentif bagi nelayan semasa musim tengkujuh.
Beliau berkata, jumlah bantuan itu bergantung kepada keputusan semasa, dan maklumat lanjut akan disahkan kemudian.
Musoddak dalam soalan asal meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha Kementerian dalam memastikan kelestarian ladang-ladang penanaman getah susulan perkembangan industri getah yang tidak serancak ladang penanaman sawit. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











