PM diingat jangan abai kampung angkat diisytiharnya

- Advertisement -

IPOH: Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) menyeru Kerajaan Negeri dan Perdana Menteri agar tidak melupakan Kampung Jelapang Jaya iaitu kampung angkat yang diisytiharkannya sejak 1984 semasa sebagai Menteri Pertanian ketika itu.

- Advertisement -

Beliau mengutarakan perkara ini semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tahun 2025 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025 pada Persidangan Dewan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Rahim mencadangkan agar Kampung Jelapang Jaya dan kawasan-kawasan sekitarnya ditempatkan di bawah tanggungjawab portfolio Exco tertentu seperti yang dilakukan terhadap Kampung Baru Cina.

“Kampung Baru Cina diletakkan di bawah Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, dan pendekatan ini berjaya memastikan perhatian dan peruntukan khas untuk pembangunan kampung tersebut,” katanya.

Menurut beliau, Kampung Jelapang Jaya yang wujud sejak 1988 kini dihuni oleh generasi kedua penduduknya, tetapi masih menghadapi pelbagai masalah asas.

“Sistem perparitan di kampung ini amat tidak memuaskan, menyebabkan kawasan itu kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat. Selain itu, sebahagian jalan masih tidak berturap dan hanya menggunakan jalan tanah serta batu kasar,” tegasnya.

Rahim juga menyatakan harapannya agar peruntukan besar yang diumumkan dalam bajet negeri dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan isu-isu ini.

“Projek-projek kemudahan asas seperti sistem perparitan dan pembinaan jalan raya amat diperlukan oleh penduduk di kawasan luar bandar ini,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan untuk tidak melupakan tanggungjawab terhadap kampung angkat ini, yang pernah menjadi fokus ketika pengisytiharan asalnya.

“Saya mohon agar Kampung Jelapang Jaya diberi perhatian serius demi kesejahteraan rakyat,” tambah Rahim. – HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -