Beraksi tanpa Ronaldo, Al-Nassr terima kekalahan pertama

- Advertisement -

RIYADH: Cristiano Ronaldo hanya mampu menyaksikan dari bangku penonton ketika Al Nassr, yang sudah layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia, tewas buat kali pertama musim ini dengan kekalahan 2-1 kepada kelab Qatar, Al Sadd, hasil jaringan masa kecederaan.

- Advertisement -

Bintang Portugal berusia 39 tahun itu dilaporkan direhatkan untuk perlawanan di Riyadh selepas Al Nassr mengesahkan tempat di peringkat kalah mati minggu lalu, dengan berbaki tiga perlawanan dalam peringkat kumpulan.

Ronaldo, yang menjaringkan 15 gol dalam 18 penampilan musim ini, menjaringkan dua gol dalam perlawanan terakhir menentang Al Gharafa dan menggandakan jumlah itu sekali lagi dalam aksi Liga Pro Saudi Jumaat lalu.

Namun, kapten Al Nassr itu tidak disenaraikan dalam skuad perlawanan oleh Stefano Pioli untuk aksi menentang Al Sadd.

Al Sadd berada di depan pada lapan minit pertama babak kedua menerusi jaringan bintang skuad kebangsaan Qatar, Akram Afif, yang melakukan larian pantas mengatasi pertahanan, Mohamed Al Fatil, sebelum melepaskan penyudah rendah menewaskan penjaga gol, Bento.

Al-Nassr kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-80 selepas lintangan rendah Wesley mengakibatkan Romain Saiss terjaring ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Afif kemudian dijatuhkan dalam kawasan penalti pada waktu kecederaan untuk pemain gantian, Adam Ounas, menyempurnakan kesempatan itu untuk menjaringkan gol kemenangan Al Sadd. – AFP / HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -