
KUALA LUMPUR: Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menyuarakan kebimbangan tentang peningkatan penyeludupan diesel meskipun penyasaran subsidi diesel dilaksanakan pada Jun 2024.
Kata beliau, walaupun langkah penyasaran telah dilaksanakan, masalah penyeludupan masih berlaku dengan hebat.
“Soalan saya, setujukah kerajaan bahawa penyasaran subsidi ini tidak begitu berkesan untuk mengatasi masalah penyeludupan diesel, malah hanya menjadi punca utama peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini.
“Apakah kerajaan ada perancangan untuk memperkasakan undang-undang akta kawalan kawalan bekalan yang mengenakan hukuman yang lebih keras dan menggerunkan kepada pengusaha stesen minyak dan penyeludup-penyeludup yang terlibat,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Armizan Mohd Ali berkata, terdapat penurunan kes penyeludupan diesel sejak pelaksanaan penyasaran subsidi.
“Dari segi jumlah kes jika kita lihat berlakunya penurunan kes sejak kita laksanakan penyasaran ini pada tahun 2024 sehingga data yang terkini adalah sebanyak 321 kes berbanding dengan 774 kes pada tahun 2023 dan 319 sebelum itu agak lebih rendah disebabkan jurang harga yang tidak jauh,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/2024











