Perlu jaminan hak Bumiputera di Kg Baru kekal  

Dato' Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran), menegaskan bahawa kerajaan perlu memberikan jaminan tegas bahawa hak pemilikan tanah Bumiputera Melayu di Kampung Baru tidak akan tergadai kepada pihak lain dalam proses pembangunan semula kawasan itu. 

- Advertisement -

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap status tanah strategik itu yang mempunyai nilai pasaran tinggi di tengah-tengah ibu kota, sambil meminta kerajaan memperincikan kaedah pembaharuan bandar yang digunakan. 

“Kampung Baru adalah salah satu tanah milik Bumiputera Melayu yang cukup tinggi nilainya. Saya ingin bertanya kepada menteri, apakah kaedah pembaharuan semula bandar yang digunakan untuk pembangunan Kampung Baru?” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dalam jawapannya berkata, kerajaan menegaskan keperluan pembangunan semula Kampung Baru untuk mengatasi masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan pendudukan unit kosong oleh warga asing.

Menurutnya, pembangunan itu dilihat penting untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk serta memelihara identiti Kampung Baru sebagai kebanggaan masyarakat Melayu.

Beliau berkata usaha itu juga diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan keseluruhan bandar raya Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -