
ARAU: Demam Alam Ria PASTI Malaysia 2024 terus dirasai selepas kejohanan tahunan itu berlangsung dengan meriah di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka pada Sabtu, 30 November lalu.
Setelah 12 tahun menanti, kontinjen Perlis akhirnya berjaya menamatkan kemarau dengan meraih gelaran johan dalam acara sajak lelaki menerusi Muhammad Seif Al Fateh Mohd Jorasmin.
Pengarah PASTI Negeri Perlis, Abd Hadi Halipah, mengucapkan tahniah kepada peserta tersebut dan semua pihak yang terlibat.
“Anak-anak semua telah lakukan yang terbaik, cuma rezeki belum berpihak kepada kita. Jadikan pengalaman ini pembakar semangat dan memori indah untuk dikenang,” katanya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.
Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaludin dengan kehadiran peserta dan penyokong dari seluruh negara.
Wilayah Persekutuan mencatatkan dominasi dalam kejohanan kali ini dengan merangkul Johan Keseluruhan.
Mereka memenangi acara khutbah dan sajak perempuan, selain Naib Johan dalam acara azan, hafazan lelaki, sajak lelaki dan tempat ketiga bagi nasyid.
Sementara itu, Negeri Sembilan, yang sebelum ini juara bertahan, tetap memberikan saingan sengit.
Mereka memenangi johan acara bercerita lelaki dan perempuan serta meraih Naib Johan dalam khutbah, pidato dan sajak perempuan.
Sebanyak 11 acara dipertandingkan pada edisi tahun ini, memberi ruang kepada pelajar PASTI untuk menyerlahkan bakat masing-masing.
Kejayaan Wilayah Persekutuan menafikan dominasi Negeri Sembilan, sekali gus menyerlahkan persaingan sengit antara kontinjen. – HARAKAHDAILY 2/12/2024












