17 hotel gabungan MAH Kelantan sumbang nasi

Kepada mangsa banjir

Maimun (baju biru) meneliti pek makanan untuk disumbangkan pada mangsa banjir
- Advertisement -

TUMPAT: Sebanyak 400 bungkus makanan berupa nasi telah disumbangkan oleh hotel-hotel yang bernaung di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kelantan.

- Advertisement -

Sebanyak 17 hotel di Kelantan telah menyalurkan sumbangan masing-masing hari ini untuk diagihkan kepada mangsa banjir khususnya yang terperangkap.

Pengerusi MAH, Maimun Mohd Hussain berkata, ada hotel menyumbangkan 20 bungkus dan ada juga lebih daripada itu sebagai sokongan terhadap program kebajikan yang dianjurkan MAH Kelantan.

Menurutnya, memandangkan situasi banjir di Kelantan yang begitu teruk selepas 24 November lalu, pihaknya terpanggil untuk turut membantu mangsa-mangsa banjir yang semakin meningkat di negeri ini.

“Alhamdulillah, 17 hotel bersetuju untuk mengambil bahagian dan insyaAllah mungkin ada lagi bantuan dalam bentuk lain pula.

“Sebelum ini kami sering membantu mangsa-mangsa banjir seperti mengagihkan pakaian, namun tahun ini kita tukar kepada pemberian makanan pula,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan menumpukan kepada kakitangan hotel yang terjejas banjir untuk dibantu sebagaimana menjadi rutin pihaknya setiap kali banjir berlaku di Kelantan.

Antara hotel-hotel yang mengambil bahagian pada program berkenaan, Hotel Perdana, Jewels Hotel, Sudara Beach Resort, Tok Aman Bali Resort, Holiday Villa, H-Elite & Design, Grand Reenai dan Grand River View dan beberapa lagi.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kehormat MAH Muhammad Azrin Zainal Abidin dan lain-lain.

Selepas majlis pelancaran, beberapa petugas hotel yang diketuai Maimun telah menyampaikan sendiri sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir disebuah masjid di Kampung Pak Keral dalam DUN Pengkalan Kubor.

Mereka telah menginap di masjid berkenaan sejak tiga malam lepas.

Sumbangan yang dihulurkan MAH ternyata mengembirakan mereka sebagai persediaan untuk dijadikan makan tengah hari.

Che Azizah Che Anuar, 47 Kampung Pak Keral, mengucapkan terima kasih kepada MAH kerana sudi menghulurkan sumbangan pada mereka yang berlindung sementara di masjid.

Menurutnya, persiapan untuk makan malam terpaksa dibuat awal memandangkan bekalan letrik telah dipotong demi untuk keselamatan orang ramai.

“Saya juga salah seorang NGO Mesra dan sering bertugas setiap tahun bila berlaku banjir, namun tahun ini saya tidak dapat bertugas kerana ingin bersama rakan-rakan di sini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sewaktu menghantar sumbangan, mangsa banjir mengambilnya dengan perahu memandangkan air di hadapan masjid masih dalam.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024

- Advertisement -