
KUALA LUMPUR: Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh), menegaskan keperluan kerajaan memberikan penjelasan tuntas mengenai dakwaan wujudnya ‘cukai tersembunyi’ ke atas diesel dan petrol RON97.
Beliau berpandangan, isu itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan memberi beban berganda kepada pengguna.
Fawwaz berkata kerajaan perlu menjelaskan bagaimana mekanisme penetapan harga automatik (APM) berfungsi dan sama ada benar cukai tersembunyi dikenakan ke atas bahan api berkenaan.
“Berdasarkan formula APM, harga diesel dan RON97 yang dijual di stesen minyak lebih tinggi daripada harga pasaran, menyebabkan rakyat terpaksa menanggung cukai tersembunyi. Dengan pelaksanaan subsidi bersasar, rakyat kini seolah-olah menanggung beban berganda,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Fawwaz turut menyatakan, isu itu semakin menjadi perhatian dalam media sosial, di mana pihak tertentu membangkitkan hujah yang mempengaruhi rakyat.
Tambahnya, pengusaha stesen minyak juga telah mengadu mengenai itu ini kepada beliau.
Dalam pada itu, Muhammad Fawwaz mempersoalkan situasi di Sabah dan Sarawak yang tidak terkesan dengan subsidi bersasar.
“Berapa subsidi yang ditanggung kerajaan di Sabah dan Sarawak? Apakah langkah strategik untuk mengelakkan penyeludupan bahan api di kedua-dua negeri ini?” katanya.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam jawapannya memberitahu, kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak kerana faktor geografi serta kebergantungan ekonomi di kawasan tersebut terhadap bahan api itu.
Menurutnya, tiada cukai tersembunyi dikenakan, dan harga runcit diesel ditetapkan secara mingguan melalui kaedah apungan terkawal sejak 10 Jun tahun ini.
Fawwaz dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan berapa penjimatan Kerajaan daripada subsidi diesel yang telah ditarik dan bagaimana kaedah Kerajaan untuk menggunakan jumlah penjimatan ini. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











