Calon SPM beratur dalam banjir naik trak tentera

- Advertisement -

KOTA BHARU: Calon SPM yang terbabit dengan banjir diharap tidak berputus asa atau lemah semangat bagi menduduki peperiksaan yang bermula hari ini.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, biar pun sedang diuji dengan banjir, namun pelajar hendaklah menjadikannya sebagai pemangkin semangat.

“Banjir yang berlaku sekarang hendaklah menjadi medan untuk anda terus bangkit dan membuktikan kemampuan diri,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Hari ini calon SPM menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu di semua pusat peperiksaan di seluruh negara. 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata, semua calon termasuk yang terperangkap diselamatkan pelbagai agensi tanpa ada yang tercicir dan mereka ditempatkan di asrama.

Semua calon SPM pindahkan ke asrama menerusi Op Payung dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan.

Malah diviral pelajar beratur dalam banjir menaiki trak tentera untuk menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang.

Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat antara lokasi yang terjejas akibat banjir yang melanda Kelantan sejak Khamis lepas.

Bagaimanapun banjir mulai surut semalam di mana sebahagian besar mangsa banjir sudah kembali ke rumah mereka.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan menjawab peperiksaan SPM. Ingatlah, setiap usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan hasil yang terbaik,” kata Menteri Besar.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Mohd Nassuruddin berkata, berserah dan bertawakallah kepada Allah SWT setelah berusaha sehabis baik.

“Seluruh doa dan harapan kami sentiasa mengiringi perjuangan anak-anak semua. Semoga semua cemerlang dunia dan akhirat,” ujarnya.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024

- Advertisement -