
KUANTAN: Isu pencemaran Sungai Balok perlu diambil perhatian sewajarnya pihak kerajaan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada sektor perkilangan dan pemain industri.
Dato’ Andansura Rabu (PN-Beserah) berkata, kawasan hulu Sungai Balok merupakan kawasan dipenuhi dengan sektor perindustrian, yang mana ia adalah dipantau secara dalam talian.
“Sungai Balok ni dia special sikit, pemantauan dia memang secara online, kerana di hulunya adalah merupakan kawasan perindustrian yang banyak industri-industri berat.
“Apabila berlaku pencemaran sahaja, ada isu dan kes, persepsi negatif masyarakat adalah kepada kilang, dan ini memberi kesan yang buruk kepada industrial player. Mereka semua ini adalah merupakan reputable industrial player.
“Pemain-pemain industri yang mempunyai reputasi international dan mempunyai standard yang tinggi dalam pengawalan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negeri Pahang, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengenai peranan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap orang awam untuk memaklumkan kepada mereka mengenai tahap kualiti air di sungai berkenaan.
“Bagaimanakah tindakan kerajaan terutama sekali Jabatan Alam Sekitar dalam engagement mereka terhadap orang awam untuk beritahu sungai ini di tahap tiga.
“Maksud tahap tiga itu maksudnya airnya boleh digunakan untuk aktiviti pertanian, perikanan. Tetapi tak boleh minum, nak minum kena rawat dulu.
“Itu kena bagi public awareness kepada orang awam supaya mereka tahu bila berlaku pencemaran, status sungai ini selamat atau tidak. Kita tak nak bila berlaku saja, mereka terus kata tak selamat.
“Ini akan beri kesan buruk kepada imej industrial player itu tadi yang mereka begitu menjaga dalam isu alam sekitar ini,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff dalam jawabannya berkata, pihaknya telah meminta JAS untuk mengambil tindakan segera dalam menangani isu tersebut.
“Kita telah meminta pihak JAS untuk mengambil tindakan yang segera untuk memastikan keselamatan kepada penduduk-penduduk. Contohnya apabila berlaku pencemaran seperti bau yang sangat kuat dan juga pencemaran air, kita akan check dulu kualiti air.
“Kalau kualiti air itu selamat, maknanya masih boleh digunakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











