Banteras koloni pendatang asing di perumahan, flat

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Sabri Azit (PN-Jerai) menegaskan perlunya tindakan tegas dan strategi khusus untuk membanteras kewujudan koloni pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan perumahan dan flat di seluruh negara.

- Advertisement -

Beliau menyuarakan kebimbangan serius mengenai masalah PATI yang semakin meningkat di negara ini.

“Baru-baru ini di enam flat Pandan Mewah di Ampang Jaya, seramai 119 orang PATI telah pun ditahan. Soalan saya, apakah strategi khusus bagi membanteras koloni pendatang asing di perumahan atau di flat di seluruh negara?”

“Apakah mekanisme khusus penguatkuasaan oleh Imigresen terhadap pelancong asing yang mendapat pas lawatan cuma disalahgunakan, seperti yang berlaku di pusat peranginan di Semporna, sebagaimana yang telah dilaporkan baru-baru ini?” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dalam jawapannya menjelaskan bahawa Jabatan Imigresen mengambil langkah tegas melalui operasi penguatkuasaan di kawasan yang dikenal pasti, seperti premis yang menggaji pekerja asing dan kawasan perumahan.

Operasi itu katanya turut melibatkan kerjasama dengan PDRM dan PBT, serta memberi fokus kepada lokasi hotspot yang dilaporkan oleh orang awam.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap majikan yang menggaji PATI dan pihak yang melindungi mereka, dengan sasaran bilangan operasi penguatkuasaan ditingkatkan untuk membendung masalah itu.

Sabri dalam soalan asalnya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kemasukan warga asing pada suku pertama tahun 2024 dan daripada jumlah itu nyatakan jumlah warga asing yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024

- Advertisement -