Anwar sendiri pilih Menteri bermentaliti takuk lama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sambutan 2 Tahun Kerajaan Madani tiada makna andai Menteri-menteri masih bermentaliti di takuk lama dan tidak bertamadun, bidas Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda PAS, Nazrul Nazir.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan Menteri Pelancongan, Tiong King Sing yang masih gagal menyaring perkara sensitif dalam memberi reaktif isu papan tanda dwibahasa menjadi bukti jelas bahawa beliau telah mencetuskan polemik berpanjangan.

“Tiong King Sing tampil dengan hujah yang sangat dangkal apabila menyatakan tindakan penguatkuasaan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dalam hal ini akan wujudkan persepsi negatif kepada pelancong.

“Walhal faktor utama kedatangan pelancong merupakan faktor keselamatan, produk pelancongan dan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, raksi balas King Sing telah membuka ruang kepada beberapa wakil rakyat DAP untuk turut memberi komentar dengan memanipulasi hujah masyarakat majmuk, kepelbagaian bandar dan pertumbuhan ekonomi.

“Anehnya, walaupun perkara ini berlaku di Kuala Lumpur, Dr Zaliha daripada PKR selaku Menteri Wilayah sedikitpun tidak terkutik, diam seribu bahasa. Maka, tidak peliklah apabila warga maya mengklasifikasinya kategori Menteri tercorot.

“Selaku individu berstatus Menteri, adalah sangat tidak wajar untuk mengeluarkan hujah yang bertentangan undang-undang negara. Tindakan DBKL adalah berpandukan Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982.

“Serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas menyatakan semua papan tanda hendaklah dipaparkan dalam Bahasa Kebangsaan. Selaras Perkara 152 Perlembagaan menjelaskan bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi.

“Yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan,” ujarnya turut menyifatkan tidak adil menuding semua kedangkalan kepada King Sing kerana individu yang memilih Jemaah Menteri ialah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Katanya, hal tersebutl menjadi faktor utama Menteri corot seperti Tiong King Sing terus kekal selesa di kerusi empuk Menteri dan bebas berbicara dengan sewenang-wenangnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2024

- Advertisement -