
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran), mencadangkan agar kampung baru di seluruh negara dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan pengurusan yang lebih sesuai dengan visi kementerian tersebut.
Menurutnya, terdapat sebanyak 613 kampung baru di seluruh negara yang ketika ini diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau menyifatkan tindakan itu kurang selaras dengan matlamat KPKT yang lebih tertumpu kepada pembangunan komuniti bandar.
“Kenapa senarai kampung baru ini masih diletakkan di bawah KPKT? Visi KPKT ialah kemakmuran komuniti bandar, bukannya kampung.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar kampung-kampung baru ini dipindahkan ke KKDW atau mungkin Kementerian Perpaduan, seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, cadangan untuk meletakkan kampung baru di bawah Kementerian Perpaduan berasaskan sejarah penubuhan kampung baru yang pada asalnya bertujuan mengelakkan komuniti tertentu daripada terpengaruh dengan ancaman komunis.
“Saya minta supaya senaraikan semua kampung-kampung baru termasuk Kampung Baru India, Melayu dan sebagainya dan diletakkan di bawah KKDW ini ataupun diletakkan di bawah kementerian lain termasuk Kementerian Perpaduan sepertimana yang saya sebutkan tadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024











