
KANGAR: MyUS Autotech memperkenalkan inisiatif terbaru, ‘Perlis Eco-Bike Tour,’ produk inovatif yang menawarkan pengalaman pelancongan unik dan mesra alam berkonsep kelestarian dengan menggunakan motosikal elektrik (EV).
Pengerusi Eksekutif MyUS Group, Datuk Nellsen Young, mempersembah maklum perkara itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, semasa perasmian ruang pameran syarikat itu dan Pejabat Smart Leisure & Travel Sdn Bhd di sini, semalam.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selain hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Jelas Nellsen, pusat jualan MyUS Autotech merupakan penjual dan pengedar bagi Motosikal Elektrik EBIXON di Perlis dan Langkawi dengan syarikat itu menawarkan khidmat menyewa, menjual, dan menjadi pusat servis motosikal elektrik.
“Penyewaan motosikal elektrik dijangka mendapat sambutan tinggi, terutamanya semasa kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
“Memandangkan lokasi cawangan yang strategik berhampiran Kuala Perlis, sebuah destinasi tarikan pelancong, terutama pada musim cuti sekolah dan cuti umum,” tambahnya.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan merasmikan ruang pameran dan pejabat Smart Leisure & Travel serta melawat sekitar premis itu. – HARAKAHDAILY 26/11/2024











