
KUALA LUMPUR: Pengumuman Belanjawan 2025 yang melibatkan projek rintis elaun tugasan atas panggilan pegawai perubatan dan pergigian dengan kenaikan elaun RM55 hingga RM65 selama tiga bulan sebelum pelaksanaan secara menyeluruh adalah terlalu kecil.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, keputusan itu tidak menampakkan kesungguhan kerajaan dan dilihat oleh rakyat sebagai ketidakbijakan kerajaan mengurus.
“Sebab itu satu kajian yang mudah boleh dilakukan kerana semua data-data sedia ada dan boleh terus dilaksanakan secara menyeluruh.
“Apa perlunya projek rintis ini? Begitu juga insentif projek rintis lanjutan masa klinik kesihatan bagi menangani kesesakan di hospital dengan kadar elaun lokum RM80 sejam di 52 klinik kesihatan dilihat elaun ini lebih besar berbanding dengan elaun on call.
“Apakah status projek ini dan adakah ianya akan diperluaskan keseluruhan negara dan apakah implikasi kewangan ke atas projek-projek rintis yang saya sebutkan tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Kesihatan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Ahmad Yunus turut menekankan isu kritikal kekurangan jururawat dalam sektor awam di negara ini.
“Kita menghadapi aliran keluar kumpulan sokongan termasuklah jururawat daripada sektor ke sektor swasta dan juga ke luar negara menjelang 2030.
“Kita dijangka akan kekurangan jururawat hampir 60 peratus dan pada hari ini pun kita sudah kekurangan lebih kurang dalam 6,000 jururawat yang yang sepatutnya.
“Adakah pengambilan pelatih diploma kejuruteraan di institusi-institut latihan KKM kepada 2,000 setahun dan penawaran jururawat masyarakat ke program latihan sambilan (PSL) kepada 1,000 orang setahun mencukupi dan mampu menangani kekurangan unjuran kekurangan itu nanti,” soalnya.
Beliau juga menyuarakan kekecewaan jururawat terhadap keputusan menambah waktu bekerja sebanyak tiga jam seminggu mulai Disember 2024 serta arahan mengeluarkan jururawat daripada klinik pakar ke wad tanpa melibatkan perbincangan dengan mereka atau persatuan yang berkaitan.
“Mereka mendakwa tiada libat urus dan perbincangan dengan mereka atau persatuan dan mereka tidak dimaklumkan semasa mereka mendatangi SSPA.
“Sudah tiba masanya kajian secara menyeluruh melihat isu kebajikan penjawat awam sektor kesihatan agar mereka mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan kekal dalam perkhidmatan awam bukan hanya sekadar cebisan demi cebisan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024











