SSPA: Tambahan keseluruhan RM30 juta untuk bayar gaji

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan, pihaknya bersetuju menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Disember 2024.

- Advertisement -

Kerajaan Negeri menurutnya, dengan itu memperuntukkan RM30 juta sebagai tambahan secara keseluruhan untuk tujuan pembayaran gaji kepada semua Penjawat Awam Negeri Kedah yang menerima opsyen SSPA bermula Disember 2024.

“Kenaikan tersebut akan dibayar mulai gaji bulan Disember 2024 yang melibatkan kenaikan keseluruhan berjumlah RM2 juta untuk tahun 2024,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dalam pada itu, tegas beliau lagi, melalui ‘Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam’, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR).

Iaitu jelasnya, Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Awam-Swasta.

Langkah tersebut terangnya, bertujuan memastikan peningkatan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan awam yang menjadi harapan beliau untuk dihayati oleh semua penjawat negeri Kedah.

“Langkah ini bersesuaian dengan Strategi 4 iaitu peningkatan kecekapan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan yang menjadi agenda reformasi dalam perkhidmatan awam,” tambah beliau.

Selain itu ujarnya lagi, pihak beliau juga akan memberi tumpuan kepada  modenisasi tadbir urus yang menjadi komponen penting dalam memastikan rakyat di peringkat akar umbi dapat menikmati kualiti perkhidmatan yang cekap, telus dan responsif.

Pendekatan itu katanya, bukan sahaja dapat memperbaiki prestasi dalam tadbir urus malah ia dapat membentuk penjawat awam yang positif, progresif dan produktif. – HARAKAHDAILY 24/11/2024

- Advertisement -