UMK juarai Debat Diraja Antara IPT bahasa Melayu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pasukan Debat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dinobatkan sebagai johan kategori Bahasa Melayu selepas berjaya menewaskan kumpulan debat dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

- Advertisement -

UMK muncul sebagai juara Pertandingan Akhir Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024.

Pasukan UMK membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan hadiah individu.

Selain itu, pasukan Debat UMK turut merangkul hadiah pendebat terbaik yang dimenangi Nurshadina Natasha Sabarudin. Beliau menerima hadiah RM500 dan sijil.

Manakala, Muhammad Raihan Sharul Saron merangkul hadiah Pendebat Terbaik Liga tajaan DBP sebanyak RM1,000.

Pertandingan Akhir Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 berlangsung malam tadi di Arena Gemilang, DeTRA PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Hadiah kepada pemenag disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir.

UMK dibarisi Muhammad Raihan Sharul Saron, Nurshadina Natasha Sabarudin, Muhammad Haries Husni Khalil Husaini dan Nik Nur Alissa Safira Muhd Laha.

Hari ini kepulangan pasukan debat tersebut disambut meriah warga UMK di terminal ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Nur Aida selaku pembangkang membahaskan tajuk Kecerdasan buatan (AI) adalah medium utama penyatuan masyarakat.

Beliau melahirkan rasa syukur di atas kejayaan itu dan menganggap ia hasil usaha gigih dan latihan debat yang dilaksanakan secara berkala.

Pertandingan Pertandingan Akhir Debat Diraja IPT2024 memasuki edisi ke-25 bermula dengan sesi saringan secara dalam talian pada 8 hingga 10 November, melibatkan 63 pasukan dari 23 IPT di seluruh negara.

Hanya lapan institusi berjaya melangkah ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Mohammad Ismail berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada pelajar dan warga universiti itu.

“Pihak universiti sentiasa menyokong agenda pemerkasaan mahasiswa melalui aktiviti debat dan pengucapan awam di UMK selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024

- Advertisement -