
RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 50 kilogram keratan ayam sejuk beku dari negara jiran.
Ketua Pintu Masuk MAQIS Rantau Panjang, Mohd Suhaimi Ibrahim berkata, sebuah van yang dipandu warga Thailand berusia lingkungan 40-an dikesan membawa 24 paket keratan ayam sejuk beku ditahan di Kompleks ICQS Rantau Panjang.
Katanya keratan ayam sejuk beku itu diletak dalam bonet kenderaan bernombor pendaftaran Thailand.
“Pemeriksaan dilakukan Pegawai Penguasa MAQIS dan mendapati keratan ayam itu cuba dibawa masuk tanpa Permit Import MAQIS, Sijil Kesihatan Veterinar dan Sijil Halal daripada JAKIM.
“Individu terbabit menggunakan kenderaan persendirian di laluan import penumpang kereta/kenderaan,” katanya pada kenyataan media di sini.
Menurutnya juga perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Kata beliau jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya juga MAQIS akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap barangan yang dibawa masuk ke negara ini bagi mengelakkan isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak. – HARAKAHDAILY 19/11/2024











