
SHAH ALAM: Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) menyeru Kerajaan Selangor untuk menekankan kepentingan pengurusan ekonomi yang tersusun dan saksama seperti digariskan dalam ayat 26 dan 27 surah Al-Isra’.
Noor Najhan menyatakan bahawa tuntutan Allah SWT dalam ayat tersebut merupakan kewajiban dan bukan pilihan bagi memastikan terlaksana pengurusan ekonomi berpaksikan prinsip Islam yang mulia.
Oleh demikian, beliau menggariskan enam prinsip utama sebagai panduan pengurusan ekonomi dan kewangan negeri yang berteraskan nilai Islam.
“Pertama, ketelusan dan kebertanggungjawaban yakni belanjawan harus diuruskan dengan cara yang jelas dan terbuka bagi memastikan setiap penggunaan dana dapat dipantau dan diuji.
“Kedua, keadilan dan kesejahteraan pendapatan negara harus digunakan untuk memastikan kesejahteraan semua rakyat secara menyeluruh bagi mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan terutama golongan miskin dan pendapatan rendah di lokasi bukan tumpuan.
“Ketiga, pengurangan pembaziran iaitu menghindari pembaziran dan penggunaan yang tidak efisien (dana) kerana setiap penggunaan dana harus bermaksud dan memberikan manfaat yang nyata kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2025 di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Seterusnya, beliau menggariskan, sumber kewangan negeri harus berasal daripada punca halal menurut syariah seperti hasil cukai yang sah dan pelaburan beretika.
“Hal demikian memastikan sedaya upaya penerimaan dan penggunaan dana halal yang harus bersumberkan punca halal dan digunakan untuk aktiviti halal dan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip syariah.
“Selain itu, pengurangan hutang iaitu mengurus kewangan negeri dengan bijaksana untuk mengurangkan hutang dan tidak bergantung pada pinjaman yang berlebihan.
“Akhir sekali, peruntukan dana untuk pembangunan infrastruktur dan pengembangan ekonomi yang berkesinambungan ke arah mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh dan berpadanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024











