Kartel: 107 syarikat dikenakan penalti kewangan RM571.5 juta

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melaksanakan penguatkuasaan terhadap amalan anti-persaingan dan telah berjaya mengenakan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta terhadap 107 syarikat kerana terlibat dalam kartel dan 2 syarikat monopoli yang menyalahgunakan kedudukan mereka.

- Advertisement -

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menjelaskan kes-kes kartel yang telah diambil tindakan dan melibatkan bahan makanan.

Katanya, kartel pengeluaran ais di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pada tahun 2015 – MyCC telah menumpaskan kartel ais yang terdiri daripada 24 pemain di 3 kawasan itu yang didapati menetapkan harga produk ais dengan jumlah penalti yang dikenakan adalah RM252,250.

Tambahnya, kartel Persatuan Roti dan Manisan Sibu pada tahun 2015 – MyCC telah menumpaskan kartel pengeluar roti dan manisan di Sibu yang terdiri daripada 14 syarikat kerana menetapkan harga-harga produk tersebut di mana jumlah penalti RM247,730.

Katanya lagi, kartel feri RORO Langkawi pada tahun 2021 – MyCC menumpaskan kartel yang terdiri dari 5 syarikat yang menjalankan perkhidmatan feri di antara Kuala Perlis dan Langkawi.

“Perkhidmatan ini membolehkan pengangkutan produk termasuk bahan makanan dihantar ke Langkawi. Mereka dikenakan penalti kewangan sebanyak RM2.19 juta,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Ismi Mat Taib [PN-Parit] di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam soalannya, Muhammad Ismi meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan usaha yang telah diambil oleh kementerian bagi menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan bagi menggalakkan persaingan dan membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau (profiteering).

Pada Disember 2023 pula, kata menteri MyCC telah mengenakan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta terhadap 5 pengeluar makanan ayam kerana terlibat dalam kartel penetapan kuantum kenaikan harga makanan ayam.

Menurutnya, untuk memperkasakan lagi usaha memerangi kartel dalam sektor bahan makanan, MyCC telah menjalankan kajian am bertujuan untuk mengkaji struktur pasaran dan amalan perniagaan industri padi dan beras negara secara menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang potensi isu persaingan.

“Kajian am ini juga sebahagian pendekatan whole of nation KPDN bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membentuk polisi baru bagi industri padi dan beras negara, dan dapatan kajian ini telah pun dikemukakan kepada KPKM,” ujarnya.

Katanya, atas arahan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), MyCC juga sedang menjalankan kajian terhadap Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP), dalam pengimportan barang makanan iaitu bawang, daging dan kelapa.

“Pada masa kini, MyCC sedang giat menjalankan sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan pemain industri yang berkaitan.

“Dapatan kajian ini dijangka dibentangkan kepada MTEN sebelum akhir tahun ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

- Advertisement -