Perdagangan hijau: Apa strategi tingkat jaringan pengangkutan

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha ke arah mewujudkan ekosistem perdagangan hijau yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan, kata Menteri Pengangkutan.

- Advertisement -

Menurutnya, melalui Dasar Pengangkutan Negara (DPN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi ketiga-tiga sektor pengangkutan darat, udara dan maritim.

Beliau menyatakan demikian dalam jawsapan bertulis kepada pertanyaan Shaharizukirnain Abd. Kadir [PN-Setiu] di Dewan Rakyat, semalam.

Shaharizukirnain dalam soalannya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh mana perancangan dan strategi kerajaan untuk meningkatkan jaringan dan pembangunan infrastruktur pengangkutan ke arah mewujudkan ekosistem perdagangan hijau.

Kata menteri itu, di bawah sektor darat seperti yang telah ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mensasarkan sebanyak 10,000 petak pengecasan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025.

Menurutnya, sehingga September 2024, sebanyak 3,171 unit stesen pengecas telah dibina, manakala jumlah kenderaan elektrik yang berdaftar sehingga Ogos 2024 adalah sebanyak 45,737.

Jelasnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga melaksanakan pemberian insentif pengecualian fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan sepenuhnya kepada kategori Kenderaan Motor Elektrik (EV) bermula sejak tahun 2022.

Katanya, dalam usaha mengelektrifikasi pengangkutan awam pula, MOT menerusi Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) mensasarkan perolehan secara berfasa sebanyak 1,450 buah bas elektrik merangkumi 250 buah bas pada fasa 1 dalam tempoh Q4 2024.

“Kita juga telah berjaya mengelektrifikasi sepenuhnya (100%) pengangkutan rel bandar,” ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya MOT melalui Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang memperluas usaha pemasangan solar photovoltaic (PV) di 15 lokasi termasuklah di depoh Batu Gajah, Seremban dan Kempas, manakala MRT Corp kini sedang melaksanakan projek rintis PV di 4 lokasi iaitu di depoh MRT Sg. Buloh, depoh MRT Kajang, depoh MRT Serdang dan stesen MRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Tambahnya lagi, di bawah sektor udara pula, kerajaan telah melancarkan Pelan Halatuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB) yang menyasarkan penyahkarbonan dari sektor penerbangan berdasarkan 4 kategori langkah mitigasi yang ditetapkan International Civil Aviation Organization (ICAO) iaitu teknologi pesawat, penambahbaikan operasi, penggunaan Sustainable Aviation Fuel (SAF) dan pengimbangan karbon (carbon offset).

Dalam sektor maritim, ujarnya Polisi Pelabuhan Hijau telah dibangun dan diamalkan oleh tujuh Pelabuhan Persekutuan, malahan sejak Green Port Award System (GPAS) dilancarkan pada tahun 2016, enam Pelabuhan Persekutuan telah menerima anugerah tersebut.

Selain itu, ujarnya kementerian sedang merangka National Action Plan (NAP) yang turut memfokus kepada pengurangan pelepasan GHG dari kapal dan pelabuhan dalam menyokong komitmen negara untuk memelihara dan meningkatkan ekonomi hijau sektor maritim, selaras dengan hasrat International Maritime Organization (IMO).

“Saya yakin kerajaan berada pada landasan yang betul dan strategik dalam usaha meningkatkan jaringan dan pembangunan infrastruktur pengangkutan ke arah mewujudkan ekosistem perdagangan hijau,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

- Advertisement -