
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan empat negeri sehingga 5 petang, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat adalah kawasan Pahang di Bentong dan Melaka.
“Selain itu, kawasan di Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin); dan Johor (Tangkak, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024











