
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengambil inisiatif merangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) bagi menyokong pembangunan industri mineral yang berdaya saing selaras dengan perkembangan semasa.
“Kerangka DMN3 telah dibentangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Januari 2024,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary [PN-Pengkalan Chepa] di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Ahmad Marzuk meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan sejauh mana usaha Kementerian membangunkan Dasar Mineral Negara bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan nadir bumi dan adakah exco-exco setiap negeri turut sama dilibatkan dalam merangka dasar tersebut.
Menurut kementerian itu, NRES juga telah membentangkan kerangka DMN3 dalam platform seperti Majlis Mineral Negara (MMN) Ketiga dan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) Pertama.
Katanya, MMN dan JKPPIM dianggotai oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri termasuklah Menteri-Menteri Besar dan Exco-Exco bagi membincangkan hal ehwal dasar dan operasi industri mineral berkaitan pembangunan industri mineral negara dan ini termasuklah Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan REE.
“Kementerian sentiasa terbuka dalam melibatkan pihak-pihak yang berkepentingan dalam merangka dasar-dasar yang melibatkan pembangunan industri mineral negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024











