
KUALA LUMPUR: Penjelasan mengenai definisi T15 perlu diberikan oleh kerajaan berikutan pentafsiran berbeza yang diberikan oleh pelbagai pihak.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, Menteri Ekonomi menyebut angka berbeza antara RM12,000 sehingga RM20,000, menunjukkan kekeliruan dalam penentuan definisi itu.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mencari mekanisme untuk menangani risiko pelabur berpindah ke luar negara jika cukai dividen ditambah dua peratus.
Beliau berkata bahawa individu berpendapatan tinggi, terutama ahli perniagaan, terpaksa menanggung pelbagai permintaan sumbangan dan beban cukai.
Nik Muhammad meminta penjelasan mengenai mekanisme pelaporan awam dan audit yang akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan ketelusan dan menghalang ketirisan dalam pengagihan subsidi RON95 dan pelaksanaan cukai dividen.
“Sebab waktu yang sama kalau kita kenakan cukai seumpama ini kita naikkan harga RON95, kenaikan harga barang automatik akan berlaku serentak,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan usaha mempertahankan kepentingan golongan bawahan dan menegaskan keperluan pengagihan kekayaan yang adil.
Beliau juga menolak cadangan untuk tidak mengenakan cukai terhadap golongan kaya dan menekankan bahawa isu tatakelola pengagihan subsidi adalah telus, dengan 85 peratus rakyat tidak terlibat dalam kenaikan harga RON95.
Beliau turut menjelaskan bahawa definisi pendapatan T15 sedang dibincangkan untuk memastikan ketelusan dalam pengurusan ekonomi negara.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Tuan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Perdana Menteri menyatakan lanjutan daripada pengumuman Belanjawan 2025, apakah definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petroleum RON95; dan bagaimana pula mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu. – HARAKAHDAILY 29/10/2024











