
ALOR SETAR: Kerajaan atau pemerintah merupakan organisasi manusia paling tertinggi dan mempunyai kuasa politik untuk memastikan semua kegiatan sosioekonomi masyarakat dapat dilaksanakan dengan teratur berdasarkan kepada prinsip dan dasar telah ditentukan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, apabila anggota masyarakat mematuhi dan melaksanakan segala prinsip dan dasar ditetapkan oleh pemerintah, maka akan terwujud satu negara yang stabil, maju dan berjaya.
Dalam pada itu menurutnya, apabila prinsip dan dasar yang dikehendaki oleh Islam dilaksanakan oleh pemerintah, maka ia dinamakan Kerajaan Islam dan negara yang dihasilkan adalah Negara Islam.
“Di dalam Al-Quran telah dijelaskan bahawa manusia ditugaskan sebagai khalifah untuk membangunkan dunia dan seluruh isinya. Kemuncak kepada Kerajaan Islam ini ialah khalifah, imam atau ketua negara.
“Wujudnya konsep khalifah dalam Tamadun Islam sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya aspek kepimpinan dalam tamadun manusia,” katanya pada program Bual Bicara Bersama Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Dewan Seri Mentaloon, semalam.
Justeru katanya, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, para Sahabat RA dan umat Islam ketika itu melantik tokoh-tokoh pemimpin Islam tersohor seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah Islam yang pertama.
Seterusnya diikuti Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman Al-Affan dan Saidina Ali Abi Talib ketika pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, disusuli pula, pembentukan Kerajaan Islam Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah, selaras dengan tuntutan konsep Khalifah.
“Kepimpinan Islam telah hilang dari masyarakat manusia bermula di era zaman Revolusi Industri dan yang tinggal hanyalah bahan-bahan cetak atau media-media yang memperkatakan mengenai kepimpinan Islam.
“Yang hanya menjadi bahan senaman minda, tajuk untuk diperbahas sama ada dalam seminar atau forum. Namun syariat Allah dipinggirkan, peraturan ciptaan manusia diangkat tinggi,” kata beliau lagi.
Sanusi turut menegaskan, kesengsaraan ketiadaan kepimpinan Islam bukan sahaja dirasai oleh umat Islam, tetapi juga umat bukan-Islam, bahkan seluruh umat di dunia.
Kepimpinan yang tidak berlandaskan kepada syariat Allah SWT katanya, bukan sahaja membawa kerosakan, malah bencana besar kepada kehidupan manusia.
“Mereka melakukan apa sahaja kerana tidak takut kepada kekuasaan Pencipta alam ini. Mereka menggunakan kuasa mereka dengan membuat apa sahaja yang mereka suka yang lebih berdasarkan hawa nafsu.
“Dalam pada itu, umat manusia hari ini ternanti-nanti kepimpinan Islam muncul dalam kehidupan mereka kerana mereka yakin hanya kepimpinan Islam yang boleh membawa keadilan dan kesaksamaan kepada mereka.
“Hal ini telah terbukti dalam sejarah bagaimana mereka hidup dengan aman bermula dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah zaman Khalifah Uthmaniyah,” menurutnya lagi.
Di Malaysia khususnya ujar beliau, antara cabaran utama adalah ledakan ilmu berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani selari perkembangan teknologi tanpa sempadan di mana menyaksikan maklumat dari seluruh dunia berada di hujung jari sahaja.
Situasi sedemikian ulas beliau, merbahaya kerana maklumat tanpa tapisan bukan sahaja mengundang kepada kesan negatif selain mengakibatkan penjelasan yang wajar boleh disalahertikan.
“Tambahan pula, sistem pendidikan di negara kita yang bersifat sekular, bergantung kepada peperiksaan berteraskan akademik dan kurang memberi penekanan kepada penerapan nilai-nilai kemanusiaan.
“Kita juga boleh lihat sama ada di luar negara mahupun di dalam negara, banyak perkara yang nampak seperti seragam. Umat Islam kini sepertinya sudah hilang jati diri.
“Mereka miskin dalam pegangan agama, miskin di sudut akhlak dan juga miskin dalam pemilikan kebendaan. Virus cintakan dunia secara berlebihan semakin menguasai masyarakat sekarang,” katanya lagi.
Berikutan itu, tidak hairanlah tegasnya, dunia Islam masih bergantung harap kepada kuasa-kuasa besar terutama dalam bidang ekonomi, walaupun mempunyai hasil bumi yang banyak.
Ini kerana tegasnya lagi, kebanyakan Negara Islam masih bergantung kepada bantuan berbentuk teknologi, kepakaran dan lain-lain daripada Barat, sementara Negara Islam yang miskin pula terus terbelenggu dengan hutang.
Sementara di peringkat global, Islam masih dilihat dengan pandangan negatif dan sering dikaitkan dengan keganasan serta ancaman kepada keselamatan.
“Orang-orang Islam sudah tidak sebebas dahulu untuk ke sana ke mari kerana selalu dilihat sebagai mencurigakan. Malah dunia juga membisu atau tidak bersungguh-sungguh bila berhadapan dengan pencabulan dan penafian hak yang berlaku di negara-negara umat Islam.
“Konflik terus berlaku di Palestin, Kashmir, Afghanistan, Iraq, Syria dan lain-lain lantaran negara-negara dunia tidak memberikan perhatian yang berat terhadap masalah ini,” tegasnya lagi.
Justeru kata beliau, sesuatu kejayaan itu tidak akan diperolehi dengan hanya berdiam diri atau membuat hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain, sebaliknya dengan pembinaan diri dan juga kemajuan masyarakat selain pertolongan Allah SWT.
Oleh itu katanya, dalam menghadapi pelbagai cabaran itu, beberapa pendekatan perlulah dilakukan secara bersama seperti melalui pembangunan iman dan akhlak, pembangunan kompetensi penjawat awam, pembangunan organisasi dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 28/10/2024











