
KUALA LUMPUR: Cabaran besar perlu diatasi oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi mencapai sasaran net zero 2025, terutama berkaitan dengan panel solar yang telah tamat tempoh hayatnya dan menjadi pemangkin kepada pelepasan karbon yang agak besar pada waktu itu.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata bahawa panel-panel solar yang telah tamat tempoh akan berdepan dengan cabaran besar dalam pelupusan dan hal-hal berkaitan, dan itu akan mengulangi apa yang sedang dialami sekarang.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tempoh Program Net Energy Metering (NEM) sehingga Disember 2024.
“Persoalan saya ialah berapa peratus pencapaian di kalangan golongan B40 yang mengambil kesempatan di atas program tersebut.
“Yang keduanya apakah kerajaan berhasrat untuk mewajibkan industri perumahan untuk memasang solar panel solar di rumah-rumah mampu milik atau rumah projek perumahan bagi membantu kerajaan mencapai net zero 2025,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof, dalam jawapannya berkata fokus utama untuk solar setelah tamat hayatnya adalah pada kitar semula ekonomi, di mana alat-alat solar yang boleh dikitar semula akan diproses dengan mematuhi keperluan alam sekitar.
Beliau memberikan contoh, China dapat mengitar semula sekitar 80 peratus peralatan solar, yang menjadi model bagi usaha kitar semula itu.
Menurutnya, kerajaan menggalakkan pemasangan solar di bumbung rumah, seperti dalam program perumahan Sime Darby, di mana pemilik rumah akan menerima sewaan dan menyambungkan semula tenaga kepada grid, dengan hasil yang akan dikongsi bersama, dan projek itu diharapkan menjadi dasar untuk pelaksanaan di seluruh negara.
Terangnya, untuk golongan B40, kerajaan memberi rebat tarif elektrik tanpa memberi tumpuan pada pemasangan solar, kerana penggunaan elektrik mereka yang rendah tidak menjadikan pelaburan solar menguntungkan.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan perancangan Kementerian untuk program pendidikan dan kesedaran yang dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan peralihan tenaga dan bagaimana Kementerian melibatkan golongan muda dalam usaha memperkasa peralihan tenaga dan kelestarian. – HARAKAHDAILY 28/10/2024











