
KUALA LUMPUR: Skim insurans sosial perlu dipastikan menjamin keberkesanan dan kelestarian dalam jangka panjang oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, kajian khusus perlu dibuat KSM bagi membuktikan bahawa skim itu mampu bertahan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.
Beliau berkata, PERKESO digesa untuk merancang pengintegrasian skim insurans sosial yang sedia ada, seperti KWSP dan SOCSO.
Itu menurutnya, termasuklah membuat pelan atau cadangan penyelarasan antara semua agensi keselamatan sosial bagi memastikan tiada pertindihan atau kekeliruan dalam penyampaian manfaat.
“Insurans PERKESO ini dah lama diperkenalkan, apakah penambahbaikan perlindungan insurans yang telah pun dilaksanakan oleh PERKESO,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata soalan yang ditujukan amat baik kerana KSM telah melakukan banyak perubahan positif kepada masyarakat, seperti menaikkan kadar khairat kematian daripada RM2,000 kepada RM3,000 dan memperluaskan skim bencana pekerjaan kepada pekerja asing.
Selain itu menurut beliau, siling maksimum caruman telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000, dengan pencen keilatan maksimum ditetapkan pada RM3,217.50 dan minimum RM550.
Beliau berkata, kajian terhadap skim itu dilakukan setiap lima tahun, dan kini caruman bagi pendapatan bulanan maksimum RM3,950 hanya RM49.40 sebulan, yang jauh lebih rendah berbanding insurans konvensional.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan bilakah skim insurans sosial komprehensif akan dilancarkan bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah, memandangkan kos sara hidup meningkat mengurangkan kemampuan mereka mendapatkan insurans kesihatan mencukupi daripada pihak swasta. – HARAKAHDAILY 24/10/2024











