Saham MAHB: Radzi Jidin cabar Lee debat luar dewan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mencabar Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berdebat dalam isu penjualan 30 peratus saham Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) kepada GIP-BlackRock.

- Advertisement -

Cabaran itu dibuat beliau pada akhir perbahasannya selepas berlaku kekecohan melibatkan dirinya dan Lee yang sebelum itu bangkit membawa Peraturan Mesyuarat 36 (12) mendakwa Radzi mengelirukan Dewan.

Kekecohan berlaku sewaktu Dr Radzi mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini apabila beliau membangkitkan isu penjualan aset strategik negara itu.

Lee bangkit mempersoalkan bahawa Dr. Radzi menyebut bahawa MAHB ‘dijual’ kepada GIP-BlackRock.

Lee: Tadi Yang Berhormat Putrajaya menyebutkan ‘jual’ MAHB. Adakah MAHB dijual? Dikatakan MAHB dijual seolah MAHB telah diberi atau diambil oleh syarikat atau kuasa luar yang disebutkan. Sekarang 70 peratus masih kepunyaan siapa?

Dr Radzi: Katakanlah Ipoh Timur ada 100 biji guli, jual 30 biji guli. Itu jual bukan? Jual bukan? 30 peratus, jual bukan?

Lee: Itu jual 30 peratus saham MAHB, 70 peratus masih dipunyai Malaysia. Kalau sebut 30 peratus saham MAHB boleh.

Dr Radzi: Kenapa Ipoh Timur takut sangat nak pertahankan aset negara?

Dr Radzi bangun membuat cabaran kepada Lee sebaik sahaja Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yieng yang mempengerusikan persidangan memaklumkan bahawa masa untuk Ahli Parlimen Putrajaya itu sudah pun tamat

“Speaker, Speaker, saya minta sikit, saya nak cabar Ipoh Timur berdebat dengan saya di luar dewan!” kata Radzi.

Semakan di siaran langsung Persidangan Dewan Rakyat di laman Youtube bahawa Dr Radzi pada permulaan ucapan perbahasannya berkaitan isu itu jelas memaparkan beliau memang menyebut bahawa transaksi itu adalah ‘penjualan 30 peratus saham MAHB’ dan kemudiannya merujuk transaksi itu sebagai ‘penjualan MAHB’. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -