
KUALA LUMPUR: Beberapa langkah perlu diambil oleh kerajaan bagi menangani isu-isu yang berkaitan kenderaan elektrik (EV) terutamanya stesen pengecasan khusus pengecasan pantas arus terus (DC).
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, terdapat antara lain cabaran yang perlu diatasi adalah termasuk kos tinggi EV, permintaan jarak perjalanan yang jauh, dan impak terhadap grid tenaga.
“Seterusnya Timbalan Menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) pernah menyatakan bahawa kabinet pada Februari 2023 telah meluluskan sebuah pasukan diketuai oleh MITI berkaitan dengan EV bagi merangka dasar khusus bagi EV.
“Apakah hasil yang dicapai oleh pasukan khas ini berhubung dengan dasar khusus bagi EV itu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam jawapannya berkata pencapaian pengecasan EV berkembang pesat pada suku kedua tahun ini, dengan proses kelulusan dipermudahkan dari setahun kepada sebulan berkat kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Menurutnya, untuk meningkatkan akses kepada kenderaan EV yang lebih berpatutan, Perodua merancang melancarkan model di bawah RM100,000, sementara Proton akan mengeluarkan model EV dengan harga lebih tinggi.
Selain itu katanya, inisiatif untuk memperkukuh ekosistem industri dan rantaian bekalan EV di Malaysia sedang dijalankan, dengan matlamat menarik lebih banyak syarikat EV ke dalam negara.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Mohd Isam Mohd Isa (PH-Tampin) yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan jumlah semasa stesen pengecasan kenderaan elektrik yang telah beroperasi sepenuhnya atau sedang dalam proses pemasangan dan apakah langkah Kementerian untuk mempercepatkan proses pemasangan peranti tersebut di kawasan luar bandar agar tidak timbul isu diskriminasi terhadap masyarakat luar bandar. – HARAKAHDAILY 23/10/2024











