Isu air tidak terhasil perlu diselesaikan segera

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyelesaikan isu pengurusan air tidak terhasil (NRW) kerana ia adalah kerugian terbesar dialami operator air di beberapa negeri.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, salah satu usaha untuk mengurangkan kehilangan fizikal NRW adalah melalui penukaran paip kepada yang baharu.

“Sedangkan kos untuk penukaran paip lama adalah terlalu mahal ditambah pula melibatkan jalan berturap, permit-permit yang dikenakan serta kos barangan yang semakin meningkat.

- Advertisement -

“Apabila sesuatu operator bekalan air membuat pinjaman sama ada dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) atau mana-mana pelabur, bayaran balik bulanan berbanding pulangan selepas penukaran paip baru adalah tidak sepadan.

“Adakah kementerian sedar masalah ini dan apakah perancangan serta cadangan untuk mengawal atau mengurangkan peningkatan kos perbelanjaan penukaran paip yang semakin meningkat seperti kenaikan kos bahan penyambungan paip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, Abdul Latiff turut mempersoalkan status terkini peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mengatasi masalah air bersih di Kelantan pada Jun tahun lalu dan penyaluran geran sebanyak 69.18 juta kepada Kelantan bagi mengurangkan NRW.

Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air untuk menyatakan peratus NRW mengikut negeri dan perancangan untuk mengatasi dalam jangka masa pendek dan panjang termasuk menyediakan geran kepada negeri-negeri.

Timbalan menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pihaknya menyasarkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 33 peratus.

“Kerajaan Persekutuan komited untuk membantu negeri-negeri operator air untuk tingkatkan atau mengurangkan kadar NWR tersebut.

“Kita perlu kerjasama semua pihak dan sokongan daripada negeri bagi mengurangkan karenah birokrasi seperti kebenaran merancang, tidak mengenakan caj atau bayaran yang tidak munasabah; dan memudahkan urusan berkaitan tanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -