
KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui Pejabat Perikanan Negeri Melaka telah mengadakan promosi makan kerang-kerangan di Melaka menerusi Program Rasa-Rasa Akuakultur di Pasar Tani Merlimau pada 30 September 2024.
Menurut Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, promosi sebegitu dapat mengembalikan keyakinan pengguna untuk membeli dan makan kerang-kerangan dan seterusnya meningkatkan pengeluaran dan penjualan kerang-kerangan di Negeri Melaka.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pengusaha kupang di Sebatu, Jasin yang mengalami kerugian akibat tidak dapat menjual kupang yang diusahakan.
“Kerugian ini adalah disebabkan oleh kandungan toksin yang tinggi di dalam kupang dalam tempoh April sehingga Ogos 2024 yang telah disahkan oleh Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung, Pulau Pinang yang mana boleh memudaratkan pengguna sekiranya memakan kupang tersebut,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tuan Guru Zulkifli Ismail [PN-Jasin] di Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Guru Zulkifli dalam soalannya meminta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan status bantuan atau pampasan yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri KPKM kepada pengusaha kupang di Sebatu Jasin yang mendakwa kerugian hampir RM2 juta akibat tidak dapat menjual kupang yang diusahakan.
Menteri itu menambah, bagi mengurangkan beban yang dihadapi oleh pengusaha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil inisiatif untuk membantu pengusaha ini melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP) melibatkan peruntukan sebanyak RM220,759 kepada 107 orang pengusaha kupang dan kerang-kerangan yang terkesan di negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Katanya, seramai 20 pengusaha kupang di Sebatu, Jasin telah menerima bantuan dengan nilai RM69,918.50 di bawah TBP.
Selain itu, ujarnya KPKM melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga telah meluluskan bantuan berjumlah RM7,500 di bawah Program Tabung Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (TBBAKN) kepada 15 orang penternak yang terjejas yang juga merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin.
“Berdasarkan pemantauan rapi DOF dan analisis makmal yang konsisten, keputusan terkini Laporan Toksin Kerang di Jasin pada 27 September 2024 menunjuk bacaan biotoksin adalah sebanyak 13.97 ppb iaitu di paras yang selamat dan aktiviti perikanan di kawasan tersebut boleh diteruskan seperti biasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024











