
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan melalui sekurangnya tujuh proses dalam persediaan memberikan perbahasan terbaik kepada Belanjawan 2025 dan termasuk juga setiap kali sidang berkenaan pada tahun-tahun sebelum ini.
Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden yang juga Ketua Pemuda PN dan Ketua Pemuda PAS Malaysia berkongsi secara ringkas tujuh proses tersebut di mana ia adalah rutin dilalui semua Ahli Parlimen PN.
Pertama katanya, mengikuti pembentangan Belanjawan oleh Menteri Kewangan, diikuti kedua meneliti dan menganalisis kandungan ucapan Belanjawan itu satu persatu, khasnya yang berkait dengan portfolio Ahli Parlimen berkenaan.
Ketiga menurutnya, mengadakan perbincangan dengan kumpulan pakar dan ahli portfolio, seterusnya keempat mengikuti ‘Pre-Council’ Ahli Parlimen Pembangkang mengenai Belanjawan.
“(Kelima) Menyediakan draf atau poin ucapan perbahasan, dan menyesuaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan; (sebelum keenam) berucap atau berbahas di Dewan Rakyat.
“(Hingga akhirnya ketujuh) mendengar dan meneliti ucapan penggulungan balas oleh YB Menteri mengenai perbahasan,” ujar mengenai perbahasan yang bermula hari ini hingga 5 November nanti.
Semua Ahli Parlimen maklumnya juga, diberikan ruang untuk berbahas, dengan masa antara 5 minit hingga 15 minit di mana kebiasaannya, jika diberi giliran berucap pada minggu pertama, akan mendapat tempoh 15 minit bagi masa berucap.
“Tetapi jika giliran berucap pada hari-hari akhir tempoh perbahasan, masa berucap dipendekkan menjadi 5-7 minit sahaja. Bayangkan, dalam tempoh 5-15 minit itulah sahaja waktu yang ada (ketika perbahasan Belanjawan).
“(Iaitu) untuk Ahli Parlimen mengutarakan isu-isu nasional dan mengangkat isu-isu tempatan di kawasan masing-masing. Kebiasaannya, untuk berucap, Ahli Parlimen akan memilih apakah isu yang paling penting dari senarai yang penting, sesuai dengan masa yang diberi.
“Itu belum dikira waktu celahan atau gangguan dari ahli lain yang bangun bertanya minta penjelasan,” ujarnya dalam usaha menyuntik kesedaran terhadap proses demokrasi dan tadbir urus negara yang penting itu. – HARAKAHDAILY 21/10/2024











