
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah menimbulkan kebimbangan dan banyak persoalan berbangkit daripada mengenai apakah maksud istilah golongan ‘maha kaya’ di negara ini, sehingga kepada isu gaji minimum RM1,700 yang dibimbangi mencetuskan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, selain inflasi.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nadzir Helmi berkata, pembentangan belanjawan 2025 telah dibentangkan oleh PMX pada Jumaat lalu, secara umumnya dilihat bersifat people-centric, yang menumpukan kepada kesejahteraan dan pemulihan ekonomi berasaskan keperluan rakyat.
Menurut beliau, pembentangan yang telah diumumkan itu didapati terdapat pengelasan golongan yang paling banyak menerima kesan atas pengenalan cukai baharu ialah dalam kalangan maha kaya.
“Hasrat Kerajaan Madani supaya golongan (maha kaya) ini bertanggungjawab menyumbang lebih banyak kepada negara dalam menyokong pembangunan ekonomi yang adil dan inklusif.
“Menerusi cukai-cukai yang progresif, golongan maha kaya akan membantu menampung perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan ketidaksamaan ekonomi, serta membantu golongan berpendapatan rendah.
“Golongan ini sering diulang oleh Perdana Menteri dalam sesi pembentangan bajet telah menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat akan maksud maha kaya ini dan dalam kategori yang bagaimana,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Pemuda PAS Malaysia.
Tambah beliau, usai pembentangan belanjawan, kenaikan gaji minimum dan penarikan subsidi pukal pula menjadi satu topik hangat yang dibualkan oleh warganet.
“Hal ini sudah tentu bermanfaat kepada warga belia dan golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.
Namun begitu, katanya, masih ada persoalan-persoalan yang berlegar dan menimbulkan kerisauan.
“Bagi langkah menaikkan gaji minimum, dijangka dapat membantu golongan B40 dan M40 mengatasi kos sara hidup yang meningkat, terutamanya di kawasan bandar.
“Namun, timbul kebimbangan akan kenaikan harga barang dan perkhidmatan susulan peningkatan kos operasi.
“Ini menimbulkan persoalan sama ada kenaikan gaji dapat meningkatkan kuasa beli atau mengundang inflasi.
“Sementara, bagi penarikan subsidi pukal, isu mekanisme menentukan golongan yang layak menerima subsidi dan kemungkinan kenaikan kos barangan asas menjadi kebimbangan warganet,” hujahnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa kedua-dua perkara ini sangat memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira jumlah pendapatan.
“Kegagalan pihak kerajaan menetapkan mekanisme dan pelaksanaan yang sewajarnya akan kembali membebankan golongan B40 dan M40.
Oleh itu, Nadzir berkata segala perbahasan di sidang Parlimen perlu merangkumkan dengan teliti segala aspek supaya Belanjawan 2025 ini dapat diimplementasikan dengan seadilnya.
“Bukan sekadar indah khabar dari rupa, yang akhirnya untung itu hanyalah dirasai oleh golongan maha kaya di atas sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024











