
KUALA KEDAH: ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari meluahkan rasa lega dan syukur apabila warga emas yang disantuni sebelum ini telah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, keadaan warga emas tersebut, Fatimah Ahmad, 73, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tepi Laut, di sini sangat lemah dan tidak bermaya.
“Saya dimaklumkan makcik ini sudah sebulan terbaring dan selama itu juga tidak mandi serta bersihkan diri,” jelasnya kepada Harakahdaily, hari ini.
Katanya, beliau mendapat perkhabaran berkenaan warga emas tersebut melalui laporan serta gambar-gambar yang dihantar kepadanya sebelum ini.
“Saya rasa terkejut apabila dimaklumkan hal ini kepada saya. Bila saya ke rumahnya, lebih menyedihkan, terbaring dengan hanya beralaskan kain batik sahaja,” ujarnya lagi.
Tambahnya, suami makcik tersebut walaupun tinggal bersama, juga tidak sihat, malah tidak dapat membantu mengurus hal isterinya.
Di samping itu kata Mardhiyyah, pasangan suami isteri itu juga tidak mempunyai anak, sekadar anak angkat yang kini tinggal berjauhan di tempat lain.
“Alhamdulillah dengan bantuan kakitangan Pusat Khidmat saya, dan Halwa DUN Pengkalan Kundur, makcik Fatimah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
“Sebelum itu mereka juga pakat ramai-ramai mandi dan bersihkan dia terlebih dahulu,” katanya lagi.
Dalam pada itu Mardhiyyah turut menziarahi warga emas tersebut di hospital dan mendapat sedikit penjelasan berkenaan keadaan beliau.
“Doktor maklum ‘stroknya’ sikit saja tetapi tekanan darahnya terlalu rendah hingga membuatkan dia pengsan.
“Alhamdulillah, keadaannya semakin baik dan boleh menjamah makanan walaupun sedikit,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu kerjasama dari Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Tebengau, Mashitah Bakar dan Pengerusi MKK Kebun Pinang, Che Hawa Madon, amat dihargai kerana banyak membantu menyelesaikan masalah berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/10/2024











