
KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan Kerajaan Kelantan untuk memperkukuhkan industri kambing tenusu di negeri ini.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (Goat Milk Collection Centre (GMCC)) di Ketereh dan Pasir Puteh.
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan Pengarah Unit Perancang, Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Mohamad Nazwan Ismail bagi mewakili kerajaan negeri.
Manakala ECERDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat dan Pemangku Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Tani, Fakrul Nizam Baharum.
Majlis perjanjian persefahaman itu diadakan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan hari ini.
Majlis perjanjian itu disaksikan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Menteri Besar berkata, perjanjian itu juga sekali gus menjadi pencapaian penting dalam memajukan sektor pertanian di wilayah ini dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Menurutnya, GMCC berfungsi sebagai hab pusat pengumpulan susu kambing utama dengan kawalan kualiti yang lebih baik, saluran pemprosesan dan pengedaran lebih cekap, serta meningkatkan daya saing pasaran.
“Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan hari ini, perjanjian kerjasama telah ditandatangani seterusnya menandakan fasa seterusnya usaha ECERDC untuk memperkukuhkan industri asas tani di Kelantan, khususnya dalam sektor ternakan.
“GMCC dijangka dapat mengumpul sebanyak 730,000 liter susu kambing segar menjelang tahun 2029,” katanya lagi.
Tambahnya, jumlah pengeluaran susu kambing ini bukan sahaja dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang kian meningkat, tetapi juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor kambing tenusu di negeri Kelantan.
Beliau memberitahu, peningkatan kapasiti pengeluaran GMCC dijangka mampu merancakkan lagi ekonomi pertanian tempatan dengan menyediakan peluang pendapatan yang tetap kepada penternak kambing.
Pada masa yang sama katanya, ia meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, serta membuka peluang perniagaan baharu dalam industri halal dan tenusu.
“Negeri Kelantan mempunyai potensi yang besar dalam sektor pertanian, kerjasama dengan ECERDC untuk membangunkan GMCC ini merupakan langkah strategik dalam merealisasikan potensi tersebut.
“GMCC bukan sahaja akan membuka peluang ekonomi kepada penternak tempatan, tetapi juga meletakkan Kelantan sebagai salah satu pemain utama dalam sektor halal dan tenusu di Malaysia.
“Kami komited untuk bekerjasama dengan ECERDC bagi memastikan kejayaan projek ini, dan berharap lebih banyak usaha bersama di masa hadapan yang akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024











