
KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah seksual meningkat 2.9 peratus dengan 3,303 kes pada 2022 berbanding 3,209 kes pada 2021.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, 20 peratus kes gangguan seksual telah dilaporkan manakala 80 peratus lagi berlalu begitu sahaja dan ini menunjukkan betapa seriusnya kes ini berlaku.
“Aduan berkenaan gangguan seksual seperti dinyatakan dalam seksyen ini merangkumi tiga perkara iaitu aduan pekerja kepada pekerja, aduan majikan kepada pekerja dan aduan pekerja kepada majikan.
“Dalam ketiga-tiga situasi ini, aduan pertama dan kedua dijangka boleh sampai kepada pihak yang sepatutnya. Namun begitu, agak sukar untuk terjadi aduan yang ketiga iaitu aduan pekerja kepada majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS, mempersoalkan kementerian bahawa sejauh mana jaminan yang diberikan kepada pekerja yang menjadi mangsa gangguan seksual ini terutama daripada majikan.
“Hal ini supaya aduan ini sampai kepada pihak yang sepatutnya tanpa diketahui oleh majikan tersebut kerana dibimbangi akan ‘dipotong’ di tengah jalan.
“Selain itu, sejauh manakah pihak kementerian memastikan kebajikan pekerja yang menjadi mangsa tersebut dijamin berkenaan dirinya sama ada tidak dipecat, dipotong gaji dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024











