
KUALA LUMPUR: Di bawah Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), Seksyen 3 memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.
Peguam, Aidil Khalid berkata, sekolah pula ditakrifkan sebagai ‘mana-mana premis atau mana-mana bahagian … premis tempat orang kebiasaannya diajar sama ada di dalam satu kelas atau lebih…’
“Bermaksud, tak boleh kibar bendera negara asing di sekolah-sekolah dalam negara ini. Sebab negara kita adalah negara berdaulat,” katanya mengulas imej tular yang memaparkan pelajar-pelajar sebuah sekolah swasta mengibarkan bendera Negara China.
Menurut beliau, sekiranya gambar itu sahih dan murid-murid sekolah di negara ini mengibarkan bendera negara China, maka ia sebenarnya adalah satu kesalahan jenayah yang boleh disiasat, ditangkap dan didakwa di bawah Akta tersebut.
Jelas beliau, ia bermaksud, tidak boleh mengibarkan bendera negara asing di sekolah-sekolah dalam negara ini kerana Malaysia adalah negara berdaulat.
Namun begitu kata beliau, terdapat pengecualian iaitu Seksyen 4 Akta yang sama memberikan pengecualian kepada mana-mana orang yang ditauliahkan sebagai wakil diplomatik atau wakil konsular kuasa asing ke Malaysia.
“Mereka ini boleh mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di sekolah atau tempat awam negara ini. Manakala Seksyen 5 pula memberi kuasa kepada Menteri untuk memberikan pengecualian atau permit.
“(Iaitu)untuk mempamerkan mana-mana lambang tersebut, walaupun oleh bukan diplomat atau wakil konsular,” katanya lagi menjelaskan akibat kepada sesiapa yang dituduh dan didapati bersalah melakukan kesalahan mempamer lambang kebangsaan itu.
Jelasnya, jika mereka tidak jatuh dalam kategori pengecuaian (seperti diplomat atau wakil konsular, atau diberikan permit untuk berbuat demikian), boleh dipenjara hingga tempoh yang tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya.
“Justeru persoalannya sekarang, adakah murid sekolah yang mengibar bendera China itu, adalah wakil diplomat sah? Takkan budak-budak lagi dah dapat jadi wakil diplomat sah?
“Atau adakah Menteri kita ada mewartakan sebarang pengecualian untuk menayangkan bendera China untuk para murid di sekolah tersebut?
“Kalau jawapan bagi ketiga-tiga soalan di atas adalah ‘tidak’, maka apa yang terpapar dalam gambar ini, jika terbukti sahih, adalah satu kesalahan jenayah. Ia wajar disiasat dan diambil tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024












