
SAMBUNGAN daripada kisah Namrud:
Namun, Namrud, yang tidak beriman, berfikir dengan cara orang yang tiada bimbingan wahyu. Dia melihat dunia hanya dari sudut pandang akalnya sahaja, tanpa panduan daripada Tuhan.
Di sinilah pentingnya wahyu dalam hidup kita. Wahyu membawa kita kepada hakikat sebenar – bahawa segala kuasa mutlak hanya milik Allah.
Contoh lain, apabila kita sakit, kita dituntut untuk berikhtiar. Kita pergi jumpa doktor, makan ubat, minum air akar kayu – ini semua adalah usaha kita. Tetapi akhirnya, sembuh atau tidak, itu bukan dalam kuasa kita, bukan kerana ubat, bukan juga doktor.
Ada orang yang pergi rawat di hospital ‘specialist’ terkenal, bahkan ke luar negara untuk rawatan terbaik, tetapi akhirnya meninggal juga. Ini kerana hakikatnya, hidup mati kita bukan di tangan manusia atau teknologi moden.
Jika kita sembuh selepas makan ubat, janganlah kita cepat-cepat berkata, “Nasib baik ada ubat ni, kalau tak, tak sembuh lah aku.” Dari segi hakikat tauhid, ucapan ini kurang tepat. Ini boleh membuka pintu kepada syirik halus. Sama juga dalam situasi lain.
Contohnya, ada orang nak merompak rumah kita pada tengah malam. Tiba-tiba, ayam berkokok, perompak terkejut dan lari. Kalau kita berkata, “Mujur ayam tu kokok, kalau tak, habis kena rompak rumah aku,” ini pun tak kena.
Yang sepatutnya kita ucapkan ialah, “Alhamdulillah, Allah yang buat ayam itu berkokok, lalu aku sedar.” Begitu juga bila kita sembuh selepas makan ubat, katakanlah, “Syukur kepada Allah, kerana dengan ubat ini, Allah beri aku sembuh.”
Kalau kita tidak cermat dalam bab akidah ini, kita boleh tersasar, tanpa sedar, ke dalam perangkap syirik. Ini kerana kita hanya melihat kepada sebab-sebab, tetapi tidak sampai kepada Pencipta sebab yang sebenar.
Hakikatnya, semua perkara, baik sembuhnya penyakit, mahupun selamatnya kita dari musibah, adalah kerana kehendak Allah, bukan kerana sebab yang zahir semata-mata.
Ada satu perkara yang sering kali kita terlepas pandang – tentang iktikad atau pegangan hati kita terhadap sesuatu.
Contohnya, bila seseorang memakai azimat untuk melindungi diri, lalu terselamat dari bahaya, dia pun berkata, “Mujur ada azimat ni, kalau tak, habis aku.” Hakikatnya, itu adalah kepercayaan yang salah.
Bila kita bergantung kepada makhluk, kita telah lupa kepada Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah. Itulah yang dinamakan syirik. Nabi ada mengingatkan kita dalam sebuah hadis: “Beringatlah kamu dengan syirik, kerana syirik pada akhir zaman ibarat seperti semut hitam duduk di atas batu hitam pada tengah malam.” (Rujuk Al-Jami’ as-Saghir, 4918). Maknanya, syirik itu sangat halus, hingga kita tak nampak, tetapi ia tetap ada.
Oleh itu, kita wajib sentiasa memperbetulkan iktikad kita. Jangan biarkan ia tersasar, kerana kalau salah, segala kebaikan yang kita buat akan menjadi sia-sia.
Allah pernah berfirman, “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal yang mereka pandang baik, lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan, 23).
Kebaikan orang yang tidak ikhlas atau syirik kepada-Nya adalah ibarat seperti pasir yang diletakkan di atas piring. Apabila datang angin, habis terbang pasir tersebut, dan yang tinggal hanyalah piring kosong.
Perbandingan ini terutamanya ditujukan kepada orang kafir, yang mana segala kebaikan mereka tidak ada nilai di sisi Allah kerana mereka syirik kepada-Nya.
Begitu juga kita sebagai orang beriman. Kalau amal kita tidak dilakukan kerana Allah, segala ibadah kita akan sia-sia. Sebab itulah, ulama sering mengingatkan kita supaya sebelum melakukan apa-apa ibadah, kita hendaklah niatkan ‘Lillahi Ta’ala’ – semata-mata kerana Allah.
Bila kita berpuasa, solat, atau bersedekah, janganlah kerana ingin dipuji manusia atau kerana segan dengan mertua. Jangan pula solat kerana mahu tunjuk sampai dahi menjadi hitam. Sedekah pula bukan untuk masuk akhbar atau supaya orang bercakap mengenainya. Semua itu hanya akan merosakkan amal kita. – HARAKAHDAILY 5/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















