
BANGI: Ekonomi yang diagung-agungkan pada hari ini adalah ekonomi yang mengaut kekayaan tanpa batas, sehingga mencabut nilai keberkatan yang diperlukan oleh manusia.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, akibatnya, elemen keberkatan hilang dalam pengurusan ekonomi, dan krisis ekonomi terus berlaku.
“Hasil yang banyak tetapi tidak mencukupi disebabkan oleh kebocoran-kebocoran yang berlaku akibat tangan-tangan yang merampas secara haram dan rasuah secara berleluasa.
“Sebahagian golongan disekat daripada mendapatkan akses kepada peluang yang sama rata, kerana alergi ekonomi yang dicipta manusia menyebabkan wujudnya kekayaan yang tidak seimbang, terutamanya yang tersekat kepada golongan kaya dan kapitalis,” ujar beliau ketika mengulas ucapan dasar Presiden PAS berkenaan elemen keberkatan dalam ekonomi Islam.
Beliau berkata demikian dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Ke-70 peringkat Negeri Selangor di Bangi Convention Center, di sini hari ini.
Oleh itu, menurutnya, sistem ekonomi tidak hanya mampu menumpu kepada kaedah bagaimana meningkatkan hasil yang cekap dan optimum.
Namun terangnya, urusan yang lebih mustahak adalah bagaimana hasil tersebut digunakan dan diagihkan secara adil tanpa pembaziran.
Beliau berkata, sebagai ahli gerakan Islam, elemen keberkatan mesti dititikberatkan dalam menguruskan pendapatan.
Katanya, ketika Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen keuntungan setiap tahun, berita baik itu sering disusuli dengan berita yang agak menyedihkan iaitu lebih separuh pencarum Muslim masih belum beralih daripada akaun konvensional kepada akaun syariah.
Terangnya lagi, statistik umat Islam yang dilihat masih memilih produk dan perkhidmatan perbankan konvensional, serta melakukan jual beli di kaunter saham yang tidak patuh syariah, dengan mengejar keuntungan yang lebih.
“Selain itu, banyak yang memilih perlindungan diri dan kenderaan daripada produk insurans yang tidak patuh syariah, hanya kerana harganya lebih murah.
“Kita sering tidak sedar bahawa banyak pilihan yang tidak patuh syariah diambil tanpa kita fikirkan.
“Walaupun kita mungkin berhati-hati dalam memastikan sumber rezeki halal, ada kalangan kita yang gagal menjaga diri daripada membelanjakan rezeki dengan cara yang tidak halal,” terang beliau yang juga ADUN Paya Jaras. – HARAKAHDAILY 5/10/2024











