Banjir: Padang Terap dan dua daerah kembali naik

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah kembali meningkat kepada 451 orang daripada 160 keluarga setakat 8:00 pagi tadi berbanding 163 orang daripada 59 keluarga malam tadi.

- Advertisement -

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa melibat tiga iaitu daerah Kubang Pasu, Pokok Sena serta  Padang Terap dan ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Daerah Padang Terap yang mula dilanda banjir berikutan hujan lebat pada malam 27 September kelmarin telah melibatkan seramai 49 mangsa daripada 18 keluarga dan ditempatkan di Masjid Aisyah Kampung Tanjung Kanan.

Pada kejadian malam tersebut, sekurang-kurangnya 26 rumah di tiga kampung di sini dilanda banjir iaitu Kampung Pisang, Kampung Tanjung Kiri dan Kampung Tanjung Kanan.

Dalam pada itu di Daerah Kubang Pasu, seramai 249 mangsa daripada 94 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan Lubuk Batu yang dibuka semalam.

Sementara di Pokok Sena, seramai 153 orang daripada 48 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang dan Dewan Serbaguna Pokok Sena.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 8:00 pagi ini, paras Sungai Perik di Kampung Perik Padang Terap dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar.

Juga Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu telah melebihi paras bahaya.

Dalam perkembangan lain, dua PPS di daerah Pendang iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah dan SMK Pendang yang menempatkan 207 mangsa daripada 49 keluarga telah ditutup. – HARAKAHDAILY 29/9/2024

- Advertisement -