
KOTA BHARU: Draf memorandum persefahaman (MoU) yang dikemukakan kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN) lebih bersifat untuk memecah-belahkan kesepakatan perpaduan.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika itu hasrat kerajaan ia jauh tersasar memandangkan semua ahli-ahli parlimen PN bersepakat menolak draf MoU terbabit.
Menurutnya, selain enam orang ahli parlimen PN yang telah menyatakan sokongan kepada PH-Umno sebelum ini, selebihnya akan kekal bersatu di bawah PN.
“Pengerusi PN sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan beliau menolak draf MoU berkenaan dan begitu juga ahli-ahli Parlimen yang lain termasuk kami di sini,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Kota Bharu, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, Dato’ Mumtaz Md Nawi (Tumpat), Ahmad Fadli Shaari (Pasir Mas), Abdul Latif Abdul Rahman (Kuala Krai), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat), Dr Abdul Ghani Ahmad (Jerlun), Datuk Awang Hashim (Pendang) dan Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurrazi (Kuala Kedah).
Beliau turut berkata, ada tiga sebab PN menolak draf MoU berkenaan, pertama tiada perundingan dibuat antara PN dan kerajaan.
“Kedua, MoU ini sebagai berat sebelah yang lebih bersifat menguntungkan pihak kerajaan dan ketiga, MoU itu bercanggah dengan Perlembagaan Negara.
“Hari ini antara tujuan sidang media secara terbuka dibuat untuk memberitahu rakyat agar mereka lebih memahami tentang apa yang berlaku berhubung isu MoU yang berat sebelah dan tidak adil itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Jelas beliau, antara isi kandungan MoU berkenaan mempersoalkan teras perlembagaan seperti kedudukan Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta prinsip kesamarataan yang pernah terkandung dalam dokumen ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) yang pernah ditolak untuk diratifikasi pada tahun 2018.
“Syarat-syarat ini adalah prinsip yang sama dengan ICERD. Kita buat kajian memang ICERD ada.
“Sama rata ni memang dalam ICERD. Dan yang keduanya, kami juga berpandangan ianya mempunyai ciri-ciri Malaysian Malaysia,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Awang Hashim pula berkata, kerajaan tidak berhasrat langsung untuk menyerahkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Menurutnya, apa yang dibuat melalui syarat MoU sudah diketahui wakil rakyat PN akan menolaknya.
“Bagi saya, tindakan kerajaan itu seperti ikat tubuh kami dan mereka tumbuk bertubi-tubi hingga tidak dapat kami lawan untuk pertahankan diri.
“Ini pandangan saya, draf yang mereka adakan itu sahaja untuk menyukarkan pembangkang sedangkan mereka tidak nak bagi sejak awal lagi peruntukan pada PN sebenarnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024











