
TEMERLOH: Perdana Israel tidak mempunyai niat dalam menghentikan sebarang genjatan senjata dalam konflik dengan Palestin.
Perwakilan PAS Negeri Wilayah Persekutuan, Mohamad Rashidi Abdul Razak berkata, perkara tersebut jelas membuktikan kezaliman negara haram itu sendiri.
“Oleh sebab itu, kita sebagai negara Islam sememangnya menentang sebarang kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis itu sendiri,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau hari ini.
Menurut beliau, banyak negara Arab sudah mula menjadi tali barut kepada negara haram Israel.
Tambah beliau, perkara sebegini adalah jelas merupakan sesuatu yang sangat mengecewakan memandangkan mereka sanggup memerangi rakyat Palestin itu sendiri.
“Hanya sesetengah negara seperti Turki, Iran serta sebahagian negara Latin Amerika dan Eropah Timur sahaja yang benar-benar berani melawan negara haram tersebut.
“Isu Palestin bukan hanya sekadar konflik kemanusiaan semata-mata kerana ianya merentasi masalah agama itu sendiri.
“Maka, penyelesaian dua negara (two state solution) bukanlah merupakan alternatif dalam menangani isu Palestin ini kerana solusi tersebut merupakan satu pengkhianatan.
“Rakyat Palestin adalah merdeka yang mana rejim Zionis itu sendiri yang melakukan kezaliman dengan menceroboh tanah air mereka.
“Kita sememangnya menentang solusi tersebut kerana Palestin merupakan milik rakyatnya dan bukannya rejim Zionis Israel,” ujarnya.
Sehubungan itu, Rashidi menyatakan bahawa perlunya setiap umat Islam untuk mempelajari sejarah negara Palestin itu sendiri.
Beliau menegaskan, PAS sememangnya akan terus bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin itu sendiri.
“Maka pentingnya untuk diajarkan sejarah mengenai Palestin kepada semua orang dalam negara ini.
“Tambahan pula, saya ingin menegaskan bahawa PAS akan terus menerus bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











